SOALAN 33
PENDIDIKAN
DAN BAHASA MEMAINKAN PERANAN YANG PENTING DALAM KESEDARAN MASYARAKAT TERHADAP
NASIONALISME. BINCANGKAN.
Bermula pada abad ke-19, kebanyakan
negara Asia telah dijajah oleh kuasa asing disebabkan kepentingan ekonomi dan
politik. Penindasan yang dilakukan oleh penjajah ke atas penduduk Asia telah
membawa kepada kemunculan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Asia.
Kebangkitan nasionalisme ini merupakan satu bentuk kesedaran untuk menebus
maruah yang tercemar melalui dasar penjajahan kuasa asing. Semangat
nasionalisme ini hampir boleh dilihat di semua negara Asia. Pendidikan dan
bahasa adalah dua elemen penting dalam perjuangan menentang penjajah.
Perkembangan sistem pendidikan telah
membantu dalam melahirkan tokoh-tokoh yang berpelajaran. Tokoh-tokoh inilah
yang menjadi penggerak kepada gerakan nasionalisme di negara masing-masing.
Umumnya, pendidikan memberikan satu rangsangan kepada golongan terpelajar ini
untuk mendesak penjajah supaya melakukan anjakan ke atas bangsa yang dijajah.
Maka bolehlah dikatakan penerimaan pendidikan oleh tokoh-tokoh ini bertujuan
membentuk kekuatan masyarakat terhadap nasionalisme serta melakukan pemodenan
ke atas negara. Apa yang pasti gerakan kesedaran tidak akan menonjol jika tiada
individu yang memperoleh pendidikan. Ini kerana, kepimpinan menerajui sesuatu
gerakan memerlukan seseorang yang berwibawa dari pelbagai aspek.
Di Filipina, mereka yang menerima
pendidikan barat adalah seperti Jose Rizal, Marcelo Del Pilar dan Andres Boritacio.
Mereka telah terdedah dengan idea-idea moden seperti demokrasi negara merdeka,
yang mana telah menimbulkan kesedaran memperjuangkan negara Filipina berdaulat.
Kezaliman serta penindasan yang diamalkan penjajah ternyata mendorong mereka
mengatur strategi. Antaranya, Jose Rizal memperlihatkan ketokohan dengan
menubuhkan Liga Filipina yang menumpukan perjuangan terhadap pembangunan
masyarakat.
Indonesia – sistem pendidikan
penjajah yang diterapkan berjaya menghasilkan tokoh berwibawa seperti Raden Adjeng
Kartini, Tjipto Mangunkusomo dan Dr. Mas Wahidin Sudiro yang berperanan
membekalkan kepimpinan meniup semangat penduduk menentang penjajahan Belanda.
Raden Adjeng menubuhkan sebuah sekolah di Japara untuk anak-anak perempuan
pegawai kerajaan. Dr. Mas Wahidin pula telah menjelajah Pulau Jawa untuk
berkempen tentang perlunya dibina sekolah di desa. Masing-masing berjuang
lantaran diskriminasi yang dikenakan pihak Belanda.
Pengenalan pendidikan Inggeris di
Burma memberi ruang orang Burma mendapatkan ilmu pengetahuan. Contohnya pada
tahun 1884, Maktab Rangoon didirikan bagi menyediakan pelajar untuk melanjutkan
pelajaran ke Universiti Calcutta, India. Dengan kesempatan ini berjaya
menghasilkan para intelek Burma memimpin gerakan nasionalisme. Mereka ialah Aung
San, Thein Pe dan Thi Han yang digelar Thakin.
Nguyen Hien, Duong Ba Trac, Phan Boi
Chau, Phanh Chan Trinh adalah tulang belakang kebangkitan Vietnam. Corak
perjuangan mereka berbeza. Phan Boi Chau menyebarkan idea serta pendapatnya
melalui berkarya manakala Phan Chan Trinh mengamalkan sifat sederhana dan
menentang pemberontakan terbuka terhadap Perancis. Mereka didorongi oleh
kezaliman penjajah seperti penindasan cukai dan ketidaksempurnaan pendidikan
yang diterima penduduk Vietnam.
Di China, nasionalisme dicetuskan
oleh pelajar yang menerima pendidikan Barat dan Jepun. Mereka adalah Dr. Sun
Yat Sen, Lu Hsun dan Lu Shih. Golongan ini tidak berpuashati dengan
pemerintahan kuasa imperialisme yang mengamalkan dasar perbezaan terhadap
pentadbiran, ekonomi mahupun pendidikan. Terdapat juga tokoh berfahaman komunis
seperti Chen Tu-Siu dan Mao Tse Tung. Chen Tu-Hsin menyatakan ideologinya dalam
majalah New Youth.
Pendidikan juga berfungsi sebagai
tempat semai nasionalisme di kalangan bangsa terjajah. Kehadiran para
cendekiawan membawa makna besar terhadap perjuangan untuk membebaskan negara
mereka. Pendidikan memerlukan satu tempat khusus bagi menyampaikan ilmu. Di
sini, berlaku satu perubahan di mana tertubuhnya pelbagai institusi pendidikan
seperti universiti, sekolah, madrasah dan sebagainya yang digunakan sebagai
medium untuk menyampaikan ideologi dalam melahirkan kesedaran masyarakat. Di
samping itu, institusi ini berperanan membangunkan pemikiran rakyat yang masih
diselubungi sikap kolot, adat-adat mengongkong penduduk dan pelbagai amalan
lain yang hanya mencicirkan diri mereka.
Semasa pemerintahan Amerika Syarikat
di Filipina, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan oleh Presiden Mc Kialey iaitu
Suruhanjaya Sheurman. Suruhanjaya ini telah mengemukakan cadangan untuk
membantu rakyat Filipina menyediakan diri untuk berkerajaan sendiri, dengan
pembukaan sekolah permulaan percuma di seluruh kepulauan Filipina. Begitupun,
pendidikan yang ada telah mencetuskan semangat nasionalisme di kalangan rakyat
Filipina. Mereka menuntut agar diberikan kemerdekaan sepenuhnya kepada
Filipina.
Di Burma, golongan sami Buddha telah
menggerakkan nasionalisme peringkat awal. Golongan ini mendalami ilmu
pendidikan melalui sekolah agama Buddha. Apa yang mendorong mereka ialah pengenalan
pendidikan sekular dan terbinanya sekolah kerajaan dan mubaligh. Ini semua
mengakibatkan sekolah agama Buddha merosot. Ramai rakyat Myanmar memahami agama
Kristian di samping memperoleh jawatan dalam kerajaan. Tetapi jika dilihat dari
satu sudut, pendidikan Baratlah yang menghasilkan golongan cerdik pandai
seperti Jose Rizal di mana akhirnya menentang penjajah itu sendiri.
Sementara Vietnam pula, penubuhan
institusi Dong Kinh Nghia Thuc atau sekolah percuma oleh Nguyen, Duong Ba Trac
cuba dijadikan sebagai langkah melatih penduduk Vietnam untuk berjuang membela
nasib bangsa mereka yang ditindas. Ianya ditubuhkan di Hanoi pada Mac 1907
dengan diawasi Perancis. Selain memberikan pendidikan, sekolah ini juga
berperanan sebagai pusat menerbit, menyunting dan menterjemah buku termasuk
tulisan Phan Bhoi Chan dan Nguyen Phan Lang. Jelas salah satu teknik untuk
menyemai nasionalisme.
Bagi Indonesia ialah penubuhan
stovia iaitu sekolah untuk latihan doktor pribumi. Dengan adanya pelajar yang
datang dari pelbagai lapisan masyarakat dan kawasan, maka tidak hairanlah
andainya mewujudkan perpaduan bangsa utuh. Ia telah dijadikan pusat memupuk
kesedaran kebangsaan di mana ideologi mereka sama ke arah membebaskan rakyat
daripada ditindas. Dalam pada itu, peranan Taman Siswa tidak kurang pentingnya.
Ditubuhkan pada tahun 1921 berobjektifkan pendedahan para pelajar dengan budaya
sendiri dan melatih pemuda Indonesia untuk percaya kepada dirinya. Oleh itu,
mereka yakin akan bangsanya hingga tercetus semangat nasionalisme.
Keadaan yang sama turut berlaku di
China setelah penubuhan Universiti Peking (PEITA). Ia telah memainkan peranan
penting dalam mencetuskan semangat nasionalisme. Ini kerana para pelajar telah
mendapat inspirasi dari pensyarah masing-masing. Para penuntut universiti
banyak mendapat pengaruh kerana pusat
ini bukan sahaja bagi kegiatan belajar malahan tempat kegiatan berpolitik
China. Kebangkitan pelajar China dapat dilihat semasa Ts’ai Yuan-P’ei menjadi
Canselor PEITA 1916. Pendidikan yang diterima mencetuskan kesedaran bahawa
mereka dieksploitasi penjajah.
Perkembangan nasionalisme di India
berkait rapat dengan penubuhan sekolah Hindu pusat di Banares yang kemudiannya
dinaik taraf sebagai Universiti Hindu. Institusi ini telah menyelamatkan India
daripada penderitaan dengan menghidupkan semula idea-idea agama Hindu purba.
Ini telah memberi orang India satu identiti baru. Perpaduan menerusi satu
pentadbiran pusat dan perluasan perhubungan dengan berbekalkan pendidikan
menggerakkan masyarakat Hindu ke arah kesedaran kebangsaan.
Setelah bertapaknya kesedaran dalam
diri, maka boleh kita katakan peranan pendidikan seterusnya ialah kewujudan
parti-parti dan kesatuan penduduk. Kedua-duanya saling berhubungan kerana tanpa
kesedaran nasionalisme dalam diri penduduk, maka tidak akan terhasil persatuan
yang bangkit menentang penjajah. Lazimnya, bagi golongan intelektual
(tokoh-tokoh perjuangan), setelah adanya sentimen patriotik, perasaan itu akan
dikumpulkan untuk membantu gerakan nasionalisme dengan lebih teratur dan berkesan.
Untuk mencapai objektif ini, maka di sini perlunya sebuah organisasi yang boleh
mempengaruhi rakyat. Pertubuhan-pertubuhan ini terdiri daripada aliran politik,
agama mahupun sosial.
Di Filipina, tokoh-tokoh seperti
Jose Rizal, M. H. Del Pilar dan lainnya telah menubuhkan persatuan La
Associacion Hispano-Filipina dan La Liga Filipina pada 3 Julai 1892 merupakan
satu gerakan propaganda tetapi menemui kegagalan. Sementara rakan seangkatannya
iaitu Andres Bonifacio, Tedoro Plata dan Ladislao pula menubuhkan Parti
Katipunan (KKK) pada 7 Julai 1892. Penubuhan ini dirancangkan atas alasan
penindasan dan diskriminasi penjajah ke atas penduduk tempatan.
Melalui Dr. Mas Wahidin Sudiro dan
dibantu Raden Soetomo dan Raden Goanawan, maka terbentuklah pertubuhan yang
dikenali sebagai Budi Utomo dalam menggerakkan nasionalisme. Persatuan ini
didasari pada perjuangan untuk memajukan kehidupan orang Jawa dan Madura dalam
bidang pendidikan, pertanian, industri dan perdagangan. Ahli kelab pendidikan
Bandung juga menubuhkan Parti Nasional Indonesia (PNI) pada 4 Julai 1927 di
bawah pimpinan Sukarno yang bertujuan mencapai kemerdekaan Indonesia dari pihak
Belanda.
Manakala di Myanmar pula, pendidikan
agama Buddha yang kian merosot mengakibatkan sekumpulan peguam muda dari
Universiti Rangoon menubuhkan persatuan YMBA dengan menggunakan slogan “Buddha
Penyelamat Kita dan Raja”. Ini adalah ekoran daripada pengenalan sistem
pendidikan sekular Barat di samping isu kasut turut menjadi pemangkin kepada
nasionalisme Myanmar pimpinan seorang radikal iaitu U Thein Maung. Kemunculan
golongan Thakin telah mengambil alih gerakan ini. Tokoh seperti Aung San, U Nu
Thien Pe dan Thi Han bertindak mewujudkan persatuan Dobama dan Liga Pemuda
Myanmar. Mereka bermatlamat serupa iaitu menuntut kemerdekaan.
Perjuangan oleh tokoh pendidikan
Vietnam seperti Phan Boi Chan dan rakan-rakan lebih tersusun setelah menubuhkan
persatuan Buy Than Hoi atau persatuan pemodenan. Sementara itu, dasar
mempercayai kerjasama dengan penjajah dapat menyelesaikan masalah maka seorang
pemimpin bernama Bui Quang Chien telah membentuk parti perlembagaan yang
menuntut reformasi pentadbiran, soal keadilan, taraf hidup penduduk dan
pendidikan. Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah tidak begitu jelas.
Pendidikan yang dimiliki juga membolehkan penubuhan Parti Kebangsaan Vietnam
atau VNQDD 1927 di bawah pimpinan Nguyen Thai Hoc. Antara lain perjuangan
bermotifkan mendapatkan kemerdekaan secara ektremis iaitu melalui kekerasan.
Sementara di China, pendidikan yang
dimiliki oleh Dr. Sun Yat Sen membolehkannya menubuhkan persatuan nasionalisme
tetapi menemui jalan buntu. Kegagalan beliau dalam usaha pertama menarik
golongan rakyat ke arah nasionalisme moden tidak mematahkan semangatnya. Oleh
itu jika kita lihat, beliau kemudiannya mewujudkan Revive China Society, Tung
Meng Hui dan Knomintang (KMT). Jikalau diamati, jelasnya perjuangan ke atas
pengusir penjajah tidak begitu ketara sebaliknya lebih kepada usaha
menyingkirkan kerajaan Manchu. Sementara tokoh berfahaman komunis pula seperti
Chen Tu Shin, Li Ta-Chao dan Mao Tse Tung membina parti komunis China (PKC)
kerana melihat parti bercorak sederhana gagal mencapai matlamat.
Siswazah-siswazah di Universiti
Calcutta juga telah mengasaskan sebuah pertubuhan kebangsaan bagi kemajuan
moral dan politik negara ibunda mereka, dengan itu terbentuklah Kongres
Kebangsaan India. Ia mewakili pendapat orang India di seluruh negara yang tidak
berpendidikan dan melindungi kepentingan mereka. Mereka ini sangat pintar dan
sedar akan keperluan masyarakat seluruh India serta lebih faham akan masalah
yang dihadapi daripada kerajaan British.
Peranan pendidikan agam juga tidak
boleh diketepikan iaitu merupakan teras kepada nasionalisme tempatan. Kita
tidak dapat nafikan aspek ini kerana kedatangan kuasa asing membawa perubahan
dalam sistem pendidikan tradisional (diganti pendidikan sekular). Penjajahan
ini telah meningkatkan kemarahan untuk mengusir penjajah. Di China contohnya,
pendidikan yang diamalkan tertumpu kepada ajaran confucianisme, Taoisme dan
Buddhisme. Banyak sekolah dan kuil dibina serta telah memberi kesan mendalam
terhadap corak pemikiran masyarakat China. Kedatangan Barat menyebabkan
pendidikan agama semakin merosot peranannya. Sistem pendidikan Barat yang
diperkenalkan membolehkan pembinaan gereja dan ramai orang China dikristiankan.
Atas sebab-sebab ini berlaku penentangan-penentangan.
Keadaan yang sama juga berlaku di
Burma. Sistem pendidikan agama Buddha pada awalnya bertapak kukuh, lengkap dan
sesuai dengan keadaan setempat. Namun, pengaruhnya ajaran agama orang Burma dan
kuil mulai longgar kerana British telah menghapuskan pengaruh istana sebagai
pusat perkembangan agama dan kebudayaan Burma. Akibatnya, golongan sami dan
guru-guru tradisional tidak lagi dipandang tinggi dan berlaku kemasukan orang
India bagi menjawat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.
Selain itu, sekolah aliran confius
juga telah memainkan peranan yang penting dalam mencetuskan kesedaran
nasionalisme. Ini kerana ajaran confiusme seperti doktrin “mengelak daripada
perkara benar dan adil adalah curang dan penakut” telah menanamkan sifat berani
untuk menegakkan kebenaran dalm diri masyarakat Vietnam. Ini telah mencetuskan
nasionalisme kerana penjajah Perancis tidak berlaku adil dalam pemerintahan.
Maka berlaku gerakan mangusir Perancis dari Vietnam.
Dengan tertubuhnya pelbagai
institusi pendidikan, secara tidak langsung membawa kepada perkembangan bahasa.
Penggunaan bahasa amat penting di mana penyeragaman perlu bagi membolehkan
segala maklumat disampaikan ke seluruh wilayah. Ini kerana bahasa merupakan
elemen penting untuk mewujudkan kesepaduan ke arah nasionalisme. Setiap kali
kita membincangkan nasionalisme, pasti tergambar di dalam fikiran kita akan
diskriminasi yang dilakukan penjajah. Maka dengan itu, perkembangan bahasa
boleh dilihat dari dua sudut. Pertama; perkembangan bahasa penjajah dan kedua;
perkembangan bahasa tempatan.
Konteks pertama antaranya negara
China. Penjajahan yang dilakukan oleh kuasa Barat menyebabkan sistem pendidikan
sekolah diwawarkannya semakin bertapak kukuh. Di sini berlaku perkembangan
bahasa penjajah. Aspek ini boleh dilihat apabila Kerajaan Manchu, China telah
menggalakkan para pegawai mempelajari tamadun Barat terutamanya dalam bidang
ilmu pengetahuan termasuk bahasa asing. Beberapa buah maktab bagi mempelajari
bahasa asing telah ditubuhkan. Contohnya, Tung Wen Kuan (1862), maktab-maktab
bahasa asing di Shanghai (1863), Canton (1864) dan FooChow (1866).
Perkara yang sama turut melanda
Filipina. Ini terbukti apabila kerajaan Sepanyol berjaya menyatukan Filipina
melalui bahasa Sepanyol walaupun terdapat bahasa tagalog dan Inggeris. Bahasa
Sepanyol diajar dan menjadikan gereja-gereja serta sekolah mubaligh sebagai
pusat pendidikan. Hasilnya, ramai cendekiawan seperti Jose Rizal, Marcelo Del
Pilar dan Juan Lona yang akhirnya bangkit menentang penjajah.
Sementara di Burma, penggunaan
bahasa Burma di kalangan masyarakat semakin merosot dan tidak begitu penting
ekoran daripada perubahan yang dilaksanakan pihak British ke atas sistem
pendidikan Burma. Sebaliknya, penggunaan bahasa Inggeris makin hari makin pesat
dengan terbinanya sekolah-sekolah aliran Inggeris.
Lain pula halnya di Indonesia.
Bahasa Melayu telah bertindak sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan termasuk
pentadbiran. Perkembangan ini bertitik tolak daripada kelemahan pihak belanda
kerana membenarkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Sikap angkuh
Belanda membawa padah kerana penggunaan bahasa yang sekata di seluruh wilayah
Indonesia membolehkan penyebaran mesej-mesej berunsurkan nasionalisme dengan
mudah sampai ke pengetahuan masyarakat. Akhirnya, dapat kita perhatikan berlaku
penentangan seperti pemberontakan dan peperangan untuk mengusir Belanda.
Dalam pada kita membincangkan soal
pendidikan, seperkara lagi yang perlu kita ketahui ialah aspek bahasa di mana
bahasa juga dijadikan sebagai lapangan untuk memperjuangkan nasib penduduk Asia
yang dihimpit penjajah. Melalui bahasa, pelbagai maklumat dan pengetahuan
tentang perjuangan dapat disebarkan. Sekiranya bahasa itu sukar difahami, sudah
tentu mesej perjuangan yang cba disampaikan mengahadapi masalah.
Justeru, bolehlah dikatakan bahawa
bahasa berperanan sebagai alat komunikasi dan pertuturan. Pada amnya, penduduk
sesebuah negara yang dijajah memiliki bahasa tersndiri sebagai perantaraan
perhubungan. Di Indonesi misalnya, berjuta-juta penduduknya berkongsi dan
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama walaupun dari segi
kedudukan geografinyaagak sukar dipercayai. Dengan ini, segala penyampaian
ideologi nasionalis dapat difahami dengan mudah malah penduduk boleh
bertukar-tukar pandangan tentang gerakan kesedaran kebangsaan.
Bagi India pula, bahasa Inggeris
digunapakai malahan turut diseragamkan di mana ini membolehkan pelbagai kaum
berinteraksi sesama mereka. Sebelum ini, pelbagai kaum yang berbeza-beza di
India menggunakan bahasa daerah atau loghat mereka sendiri. Penggunaan bahasa
yang sama di semua peringkat memudahkan pendedahan orang India kepada
ideologi-ideologi politik dan perkembangan semangat nasionalisme.
Di China, pengenalan bahasa Kuo Yu
atau bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar telah memainkan peranan penting
dari aspek berkomunikasi. Rakyat lebih mudah berurusan tanpa dibelenggu masalah
pertuturan lagi. Ini krana masyarakat China sememangnya dikenali kerana
memiliki pelbagai pertuturan seperti Kantonis, Hokkien dan sebagainya.
Penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi telah dijadikan pemudahcara
dalam penyebaran maklumat sesama golongan nasionalis.
Seperti yang kita sedia maklumi, sesebuah
negara terdiri daripada beberapa wilayah atau daerah yang memisahkan mereka.
Sudah tentu wujud perbezaan ketara samada dari segi agama, budaya, bahasa dan
ini sekaligus menyukarkan usaha menggerakkan semangat nasionalisme. Justeru,
penggunaan bahasa yang seragam tidak dinafikan mampu mengikat perpaduan di
kalangan penduduk. Ini kerana mereka berkomunikasi, bertukar pandangan dan
akhirnya bergerak seiringan ke arah membebaskan negara daripada cengkaman
penjajah.
Sebagai contoh di Indonesia.
Daripada segi geografinya, ia terdiri daripada beribu-ribu pulau dan memiliki
pelbagai bangsa dan budaya. Namun atas konsep rumpun Melayu dan bahsa Melayu,
maka kepulauan-kepulauan tersebut dijadikan sebuah entiti politik. Apa yang
penting ialah penggunaan bahasa Melayu telah berjaya mewujudkan perpaduan di
kalangan penduduk di samping memberi kesedaran kepada mereka tentang masalah
penjajahan Belanda ini. Idea Melayu Raya atau Indonesia Raya adalah contoh
terbaik memperlihatkan perpaduan bangsa Indonesia.
Di India, bahasa penjajah atau
bahasa Inggeris memainkan peranan sebagai alat untuk menyatu padukan rakyat
yang bertutut dalam pelbagai dialek. Tindakan penjajah ini yang menjadikan
bahasa Inggeris adalah bahasa rami membantu perkembangan nasionalisme. Ini
kerana penggunaannya yang meluas di kalangan rakyat India membolehkan pelbagai
kaum berkomunikasi dan bertukar-tukar makluamt melalui bahasa yang difahami
semua. Ia juga dapat memecahkan kecenderungan sempit dan semagat kewilayahan
yang selama menghalang kesedaran kebangsaan di kalangan orang India.
Bahasa juga dilihat sebagai lambang identiti atau menunjukkan sesuatu bangsa itu. Hal ini boleh ditinjau di negara Vietnam. Pengenalan sistem tulisan quoc-ngu iaitu tulisan yang dicipta mubaligh Katolik pada abad ke-17 telah memudahkan pembacaan dan pembelajaran bahasa Vietnam. Tulisan ini mudah dipelajari dan mampu memperkanal dan menterjemah perkataan Barat. Oleh itu, tulisan ini yang mempunyai banyak kelebihan telah menjadi lambang kemegahan Vietnam. Ini kerana bahasa telah dapat dipermudah dan difahami. Dengan adanya tulisan baru serta berjaya mencetuskan kesedaran masyarakat.
Kesimpulannya, penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas negara-negara Asia serta penindasan dan diskriminasi yang dilakukan telah membuka mata rakyat agar berjuanag mendapatkan semula hak kebebasan daripada belenggu penjajah. Walauapapun, pendidikan dan bahasa merupakan dua kombinasi penting dalam mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap nasionalisme.