SOALAN 13
BANDINGKAN
CIRI-CIRI DASAR EKONOMI DI NEGARA-NEGARA ASIA SELATAN DAN ASIA TENGGARA.
SITI
FATIMAH BT. MUHAMMAD
Salah satu
sektor terpenting yang harus diberi perhatian yang mendalam dalam melihat
struktur masyarakat tempatan ialah sektor ekonomi. Umumnya, Asia Selatan dan
Asia Tenggara sehingga abad ke-20 masih menjalankan aktiviti asas dalam ekonomi
iaitu pertanian. Sebelum kedatangan orang Eropah, sistem ekonomi sara diri
merupakan amalan ekonomi utama yang dijalankan di negara-negara Asia Selatan
dan Asia Tenggara. Malah pada abad ke-19, kuasa-kuasa Barat telah memajukan
bidang pertanian dengan memperkenalkan tanaman kontan. Namun, kemunculan
imperialisme Barat sedikit sebanyak telah mengakis ekonomi tradisi melalui
pengenalan dasar-dasar ekonomi baru di negara-negara Asia Selatan dan Asia
Tenggara.
Di Indonesia, sistem ekonomi
komersial berkembang dengan pesat akibat pengenalan sistem Kultur atau Sistem
Tanaman Paksa. Sistem Tanaman Paksa ataupun dikenali juga sebagai Rodi Tanaman
ini diperkenalkan di Pulau Jawa pada tahun 1830 oleh Belanda. Tujuan utama ia
diperkenalkan ialah untuk menyelesaikan masalah kewangan Belanda dengan
menambahkan pengeluaran tanaman jualan seperti kopi, nila, tebu dan tembakau.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk meninggikan taraf hidup kaum petani di
Indonesia.
Ciri sistem Tanaman Paksa ialah 1/5
daripada tanah pertanian digunakan untuk tanaman kerajaan dan dikecualikan
daripada cukai. Manakala petani-petani dikehendaki bekerja selama 66 hari
setahun. Seterusnya, hasil yang melebihi nilai cukai akan dikembalikan kepada
petani dan jika berlaku malapetaka, petani-petani tidak perlu membayar cukai.
Selain itu, pekerja-pekerja di bawah wedana dan terdapat pengkhususan kerja.
Ciri yang terakhir ialah pegawai-pegawai Belanda menguruskan proses mengeksport
hasil tanaman kerajaan ke negara Belanda. Sistem ini telah memberikan
keuntungan bersih yang lumayan kepada Belanda. Belanda telah memperoleh 823
juta guilder dengan cara melakukan penindasan dan pemerasan ke atas petani
Jawa. Akibatnya sistem ini ditentang hebat oleh golongan berfahaman liberal dan
akhirnya digantikan dengan Dasar Liberal.
Dasar
Liberal diperkenalkan untuk menggantikan sistem Kultur yang bertujuan untuk
menjaga kebajikan rakyat jelata. Matlamatnya ialah untuk memperbaiki taraf
hidup para petani serta memberi peluang yang lebih luas kepada kemasukan
pelabur-pelabur persendirian dari belanda dan Eropah untuk menceburi bidang
ekonomi Indonesia. Di bawah Dasar Liberal, pemodal-pemodal swasta dapat menguasai
perniagaan dan membuka ladang-ladang besar. Banyak tanaman baru diusahakan
seperti koko, kopra, kelapa sawit dan getah, malahan kegiatan ekonomi ini telah
diperluaskan ke pulau-pulau luar seperti Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.
Selain itu, dasar Liberal juga adalah berkonsepkan kebebasan dan tidak ada
perlindungan yang diberi di bawah dasar ini.
Dasar Liberal ini turut meninggalkan
beberapa kesan negatif ke atas penduduk Indonesia. Taraf hidup penduduk
peribumi tidak dijaga. Kebajikan peribumi diabaikan. Pengusaha swasta lebih
mengutamakan keuntungan sahaja. Ini mengakibatkan peribumi Indonesia masih
ditindas dan dieksploitasi untuk kepentingan mereka. Di bawah dasar ini,
peladang-peladang Indonesia tidak dapat bersaing dengan pengusaha-pengusaha swasta
Eropah. Ini menyebabkan mereka terpaksa menjual ladang-ladangnya kepada
peladang-peladang yang kaya dan bekerja sebagai buruh bergaji. Dengan ini,
jelaslah yang Dasar Liberal juga seperti Sistem Tanaman Paksa yang tidak
menjaga kepentingan kebajikan peribumi Indonesia. Akibatnya, ia mendapat
tentangan dan diganti dengan Sistem Etika.
Sistem Etika atau Dasar Susila
dianggap lebih berperikemanusiaan berbanding dasar-dasar sebelum ini. Dasar
Etika adalah hasil dari kegagalan Dasar Liberal. Dasar ini mempunyai
unsur-unsur moral dan kemanusiaan dalam pelaksanaanya. Di bawah dasar ini,
keadaan ekonomi dan sosial penduduk Indonesia dapat ditingkatkan, dengan
membawa kemajuan dalam bidang pertanian, perlombongan, perdagangan, pelajaran,
kesihatan dan infrastuktur. Ini adalah hasil dari kerjasama kerajaan dan
swasta.
Selain itu, kerajaan juga telah
memajukan kemudahan pengairan iaitu antara tahun 1900-1940 dan lebih 270 juta
guilder telah dibelanjakan ke atas kerja-kerja perairan. Di samping itu,
kemudahan infrastruktur juga dimajukan. Kemudahan-kemudahan kredit turut
disediakan dan perkhidmatan kesihatan turut diperluaskan ke kawasan-kawasan
luar bandar dan kampung-kampung. Di bawah dasar ini juga, sistem pendidikan ala
Barat telah diperkenalkan. Kemudahan pendidikan di peringkat desa telah
bertambah 31/2 kali ganda antara tahun 1909-1912. Dengan itu, menjalang akhir
abad ke-19 hampir kesemua kawasan yang membentuk republik Indonesia telah
berada di bawah pemerintahan Belanda kecuali Pulau Timur (bawah Portugis) dan
Bangkahulu (bawah British).
Di Filipina pula, orang Sepanyol
telah memperkenalkan Sistem Polo (sistem buruh paksa) dan Sistem Vandala
(sistem paksa). Dalam Sistem Polo, semua orang Filipina yang berumur 18-60
tahun kecuali ketua-ketua dan anak-anak mereka yang tua terpaksa bekerja secara
percuma selama 40 hari dalam setahun dengan gaji yang kecil dan adakalanya
tidak dibayar. Mereka hanya diberikan beras untuk menyelamatkan diri daripada
mati kebuluran.
Manakala Sistem Vandala pula ialah
sejumlah barang-barang tertentu yang mesti diserahkan oleh orang-orang Filipina
kepada kerajaan secara paksa. Barang-barang yang diserahkan itu kadang kala
tidak diberikan bayaran sebaliknya hanya diberikan wang-wang kertas yang tidak
berharga. Vandala ini dijadikan sebagai ufti kepada kerajaan yang dikenakan ke
atas orang-orang Filipina.
Selain itu, Sistem Encomienda yang
turut menindas dan memeras tenaga orang-orang Filipina juga telah menimbulkan
rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Di bawah sistem ini, orang-orang
Filipina yang miskin dipaksa membayar ufti yang tidak ditentukan, ada yang
dikehendaki membayar ufti sebanyak satu peso dan ada pula sebanyak sembilan
peso. Selain itu, mereka ini juga sering dikerah sebagai buruh. Paderi-paderi
Filipina pula diberikan jawatan-jawatan rendah di bawah pengaruh paderi-paderi
Sepanyol. Seterusnya, rakyat Filipina yang miskin atau memiliki harta yang
sedikit pula dikenakan cukai yang tinggi misalnya barang-barang keperluan
seperti beras, gula manakala barang mewah yang dimiliki oleh orang-orang berada
dikenakan cukai yang rendah. Dalam sistem ini juga, wang dari hasil kutipan
digunakan untuk kepentingan orang Sepanyol dan bukannya digunakan untuk
membangunkan Filipina serta rakyatnya.
Manakala bagi negara-negara Asia
Selatan contohnya di India, satu sistem percukaian tanah baru telah
diperkenalkan oleh British yang dikenali sebagai sistem Zamindari (tahun 1793).
Pengenalan sistem ini secara langsung telah menyebabkan berlakunya perkembangan
pesat dalam sektor pertanian di Bengal. Jika pada tahun 1793, hanya 35% sahaja
kawasan di Bengal diusahakan, namun menjelang penghujung abad ke-19, angka ini
telah meningkat sehingga 80%. Dalam masa yang sama, sektor pertanian juga telah
dijalankan secara komersial iaitu penumpuan diberikan kepada penanaman sejenis
tanaman dan untuk tujuan eksport seperti jut, sutera, tebu, candu dan nila.
Namun, masyarakat tempatan telah menjalankan pelbagai jenis tanaman terutamanya
padi bukan untuk keperluan sendiri sahaja tetapi untuk memenuhi tuntutan kerajaan
yang dibayar dalam bentuk cukai.
Misalnya bagi masyarakat di Bengal,
hasil pendapatan dalam kadar tertentu haruslah dibayar dan diserahkan kepada
kerajaan pusat di Delhi melalui zamindar. Golongan zamindar diletakkan sebagai
golongan penengah antara pemerintah serta golongan petani. Cukai yang dibayar
itu biasanya adalah dalam bentuk hasil. Zamindar yang bertanggungjawab mengutip
cukai tersebut akan mengambil sebahagian hasil sebagai upahnya sementara
sebahagian lagi akan dihantar kepada kerajaan. Sehingga penghujung abad ke-18,
sistem ini masih dikekalkan di Bengal.
Ciri-ciri bagi sistem Zamindari ini
ialah seperti kelas zamindar diisytiharkan sebagai tuan tanah yang mempunyai
hak ke atas ladangnya. Seterusnya, zamindar bertanggungjawab untuk menjelaskan
cukai ladangnya di mana 45% hasilnya dengan 6/10 diserahkan kepada kerajaan dan
1/10 disimpan oleh zamindar sebagai ganjaran. Cukai untuk setiap ladang milikan
zamindar (1793) kekal sepanjang masa (dijelaskan dalam bentuk wang tunai).
Selain itu, zamindar yang gagal menjelaskan cukainya akan dilucutkan tanahnya
dan boleh dipenjara. Petani yang bermastautin (yang mengerjakan tanah dengan
bayar sewa yang tetap selama 12 tahun) tidak boleh disingkirkan oleh zamindar
kecuali jika gagal membayar sewa. Zamindar berhak menaikkan sewa jika kadar
cukai ladangnya jatuh atau jika ia menyediakan kemudahan atau jika hasil
tanahnya bertambah.
Sementara di Madras pula, British
telah memperkenalkan satu sistem yang dikenali sebagai Ryotwari. Sistem ini
diperkenalkan oleh Thomas Munro pada tahun 1912, sebelum diperluaskan ke
kawasan-kawasan lain termasuklah Bombay pada tahun 1818. Sistem ini menyebabkan
pembayaran cukai tidak melalui zamindar sebaliknya terus daripada petani kepada
kerajaan. Melalui sistem ini, British berkeinginan untuk mengembangkan tanaman
komersil seperti kapas, tebu, tembakau, nila, kopi dan lada di Madras untuk
tujuan eksport. Menjelang pertengahan abad ke-19, terdapat lebih daripada 1
juta ekar tanah di Madras yang ditanam dengan kapas yang menghasilkan kapas
mentah bernilai 55 juta. Keadaan ini sebenarnya didorong oleh kenaikan harga
kapas mentah yang begitu tinggi antara period 1861-1865 dan menyebabkan petani
memberi tumpuan serius kepada tanaman ini di wilayah mereka.
Antara ciri-ciri sistem Ryotwari
ialah setiap keping tanah akan didaftar atas nama seorang petani yang
bertanggungjawab membayar cukai. Jumlah cukai akan ditaksirakan setiap tahun
dan antara 25% hingga 60% hasil tanah hendaklah diserahkan kepada kerajaan
setiap “T” tanah. Pengutipan cukai akan dikendalikan oleh kerajaan. Petani yang
gagal menjelaskan cukai akan dirampas tanah dan hartanya.
Kesimpulannya,
perkembangan-perkembangan ini sebenarnya memaparkan bahawa aktiviti ekonomi
bercorak komersial itu telah wujud sejak sekian lama di ketiga-tiga rantau
termasuklah Asia Selatan dan Asia Tenggara. Namun kedatangan kuasa Barat sejak
abad ke-16 sebenarnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi komersial ini.
Kuasa-kuasa Barat yang datang dalam bentuk padang persendirian dan berkumpulan
atau di bawah satu syarikat merupakan satu fenomena baru. Mereka bukan sekadar
membawa bersama kapal-kapal dagang yang lebih besar saiznya berbanding pedagang
Asia, malah turut memperkenalkan beberapa konsep komersial baru melalui
dasar-dasar yang telah dibincangkan di atas. Melaluinya didapati bahawa
terdapat beberapa persamaan dan perbezaan di antara sistem-sistem yang telah
diperkenalkan sama ada di negara-negara Asia Tenggara mahupun di Asia Selatan.