Make your own free website on Tripod.com

SOALAN 47

BANDINGKAN PERSAMAAN DAN PERBEZAAN SAREKAT ISLAM DAN PONGYI DALAM GERAKAN MENENTANG PENJAJAH

 

KHAIRIAH BT. ABD. HAMID

 

            Kemunculan kuasa Barat yang mengancam keharmonian masyarakat Asia dengan bertindak sebagai penjajah telah membangkitkan semangat nasionalisme bangsa Asia. Kebangkitan semangat cintakan negara ini telah membawa kepada gerakan berorganisasi dalam usaha menentang penjajah. Sarekat Islam di Indonesia dan gerakan golongan pongyi merupakan antara pertubuhan awal yang ditubuhkan untuk menyatukan rakyat tenpatan bagi menentang penjajah. Pertubuhan yang berasaskan agama ini mempunyai beberapa persamaan dan perbezaan perjuangan membangkitkan semangat nasionalisme bagi menentang penjajah.

            Persamaan pertama dapat dilihat dari aspek tujuan atau matlamat penubuhan iaitu ingin menubuhkan kerajaan sendiri. Bagi Sarekat Islam (Indonesia), tujuan ini disembunyikan kerana takut diharamkan oleh penjajah Belanda. Oleh kerana itu, pemimpinnya (Hj. Omar) pernah menyatakan bahawa Sarekat Islam bukannya parti politik dan akan menumpukan taat setianya kepada kerajaan Belanda. Hakikatnya, Sarekat Islam adalah pertubuhan yang sentiasa mengkritik Belanda dalam usaha membentuk kerajaan mereka sendiri. Pada tahun 1916 dalam kongres kebangsaan yang pertama, Sarekat Islam telah meluluskan usul menuntut kerajaan sendiri daripada Belanda melalui cara perlembagaan. Pada tahun 1917 pula, Kongres Nasional Kedua telah menuntut kemerdekaan secara total dengan cara apa pun jika perlu dan menentang kapitalisme yang menindas rakyat Indonesia. Perjuangan ini menarik minat dan sokongan golongan nasionalis yang radikal dan agresif.

            Begitu juga dengan perjuangan Pongyi. Pada tahun 1922, Sangha Sametggi (Kesatuan Pongyi) bergabung dengan Majlis Umum Persatuan-Persatuan Burma (GCBA) di bawah pimpinan U Chit Alaing. Tujuan penggabungan ini ialah bagi memboikot dan menentang Sistem Diarki yang diperkenalkan oleh Inggeris dan menuntut kemerdekaan untuk berkerajaan sendiri. Dalam usaha mempercepatkan kemerdekaan, Sangha Sametggi dan GCBA telah memulaukan pilihanraya pertama untuk memilih ahli-ahli Dewan Perundangan serta pilihanraya tahun 1925 dan 1928.

            Seterusnya, persamaan antara Sarekat Islam dan Pongyi dalam perjuangan mereka ialah perjuangan mereka adalah bermatlamat mempertahankan agama dan juga golongan agama.

            Sarekat Islam berjuang untuk menyebarkan agama Islam dalam bentuk yang lebih sejati kepada seluruh rakyat Indonesia sekaligus dapat menyaingi dan menghalang penyebaran agama Kristian oleh penjajah Belanda. Sarekat Islam telah menggunakan agama Islam sebagai lambang penyatuan dan perpaduan kebangsaan dalam menentang penjajah. Sarekat Islam juga cuba mendaulatkan Islam dengan menuntut supaya orang Islam diberi keistimewaan di samping menjamin perkembangan dan penyebaran agama Islam. Antaranya ialah kerajaan Belanda membatalkan undang-undang dan peraturan yang telah menghalang perkembangan dan penyebaran agama Islam. Golongan agama iaitu kiyai-kiyai dan penghulu-penghulu perlu diberi gaji tetap dan pusat-pusat pengajian Islam diberi subsidi. Sarekat Islam juga telah menuntut supaya kerajaan Belanda mengiktiraf dan mengisytiharkan hari kelepasan dan cuti.

            Sementara itu, perjuangan Pongyi dalam mempertahankan agama dapat dilihat menerusi pimpinan U Otama. U Otama merupakan seorang sami yang menyeru para pengikutnya dan rakyat Burma supaya bangkit menentang Inggeris dengan cara kekerasan dan revolusioner. U Otama telah meninggalkan biara dengan diiringi para pongyi untuk mempertahankan kepercayaan agama Buddha dan melindungi penganut-penganut Buddha daripada terus ditekan dan ditindas oleh kerajaan Inggeris. Perjuangan mereka adalah berlandaskan agama Buddha dan pelajaran Burma. Bagi menarik minat penyokong-penyokongnya, golongan pongyi telah menggunakan ramalan dan kuasa sakti agama Buddha sebagai daya tarikan dalam menentang kerajaan Inggeris. Selain itu, pemberontakan Saya San di daerah Tharawaddy telah dilancarkan pada tahun 1930-1931 dalam usaha memulihkan kedudukan agama Buddha. Para pongyi juga tidak berpuas hati kerana peranan ketua hierarki agama Thathanabaing dalam urusan agama diketepikan oleh pihak Inggeris.

            Perjuangan kedua-dua pertubuhan ini juga dapat dilihat persamaannya dalam aspek sosal dan budaya, di mana mereka cuba meningkatkan keperluan kebajikan dan melindungi adat budaya mereka.

            Bagi Sarekat Islam, mereka mahu meningkatkan bangsa Indonesia dari segi kebendaan dan pendidikan. Dalam bidang pendidikan, Sarekat Islam menuntut supaya diskriminasi ke atas pengambilan kanak-kanak ke sekolah dihapuskan dan kanak-kanak di bawah 15 tahun wajib diberi pendidikan. Sementara itu, sekolah-sekolah di semua peringkat pendidikan perlu ditambah dan diperbaiki serta dilengkapkan dengan kemudahan asas. Selain itu, mereka menuntut supaya Maktab Undang-Undang dan Maktab Perubatan dipertingkatkan ke taraf universiti. Pelajar-pelajar Indonesia yang ingin menuntut di luar negara perlu diberi biasiswa. Dalam bidang sosial, Sarekat Islam mendesak supaya buruh paksa dan buruh kanak-kanak dihapuskan serta memperbaiki kemudahan kesihatan dan perubatan. Tuntutan ini dilakukan pada tahun 1914-1923 akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama (1914-1918).

            Di Burma pula, golongan pongyi bertindak menjaga adat dan budaya mereka terutamanya yang berkaitan dengan biara. Pada 1916-1920, golongan pongyi memainkan peranan penting terutamanya dalam krisis kasut di Burma. Persatuan Pemuda Buddha telah melancarkan protes terhadap pemakaian kasut oleh sekumpulan orang Eropah semasa memasuki pagoda di Rangoon. Golongan pongyi juga telah menyerang orang Eropah yang memakai kasut di pagoda Endawya. Kedua-dua pertubuhan ini kemudiannya mendesak kerajaan Inggeris meluluskan undang-undang melarang pemakaian kasut di pagoda. Desakan golongan pongyi mendapat sokongan dari seluruh masyarakat dan akhirnya desakan ini berjaya. Inggeris memutuskan bahawa ketua pagoda tempatan mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan larangan menanggalkan kasut pada tahun 1918. Pada 28 Ogos 1920, Inggeris telah memperkenalkan Akta Universiti 1920 yang bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan. Bagi golongan pongyi, mereka menganggap akta ini telah menghalang orang Burma daripada menerima pendidikan tinggi dan melambatkan langkah berkerajaan sendiri. Dengan itu, Pongyi telah menyokong Persatuan Pemuda Buddha dalam menentang rancangan Inggeris untuk menaikkan kelayakan memasuki Universiti Rangoon. Mereka telah mengadakan permogokan pelajar pada Disember 1920. Permogokan itu menjadi lebih berkesan kerana mendapat sokongan daripada golongan pongyi. Sokongan dan penyertaan pongyi ini telah memaksa Inggeris membuat pindaan Akta Universiti pada tahun 1924 dan orang Burma mendapat kuasa dalam pentadbiran universiti. Golongan pongyi juga menentang hebat ke atas Inggeris yang mengajar agama Kristian pada murid-murid yang beragama Buddha di sekolah-sekolah di Rangoon. Tentangan ini menyebabkan sekolah-sekolah tajaan Inggeris menjadi kurang popular.

            Namun begitu, terdapat juga perbezaan dalam perjuangan kedua-dua pertubuhan ini. Jika dilihat dari aspek politik, perjuangan Sarekat Islam lebih kepada mejaga kebajikan dan mendapatkan hak-hak kekuasaan rakyat Indonesia. Ini adalah jelas berdasarkan tuntutan Sarekat Islam terhadap Belanda supaya menubuhkan Majlis Daerah dan Desa serta perluasan kuasa Volkraad (Majlis Rakyat). Tujuannya ialah untuk meluaskan fungsi volkraad sebagai satu badan perundangan. Sarekat Islam juga mengecam Belanda yang mengamalkan dasar diskriminasi dalam pentadbiran kerana majlis-majlis tempatan tidak diberi kuasa autonomi. Pertubuhan ini juga menuntut supaya hak mengundi diberi kepada lelaki berumur 18 tahun ke atas dalam pemilihan ahli-ahali Majlis Kampung dan 21 tahun bagi ahli-ahli majlis yang lain.

            Berbanding dengan perjuangan pongyi yang lebih mementingkan dalam membangkitkan kesedaran kebangsaan terutamanya di kalangan petani. Mereka telah sama-sama menentang dasar-dasar Inggeris. Pongyi pula berperanan sebagai penghubung di antara penduduk desa dengan gerakan kebangsaan. Pongyi telah mempengaruhi para petani supaya menentang cukai kerajaan pada tahun 1924, 1926 dan 1927. Pongyi telah menubuhkan Majlis Am Sangha Sametggi pada tahun 1922 untuk memastikan penglibatan mereka dalam nasionalisme Burma menjadi lebih tersusun dan berkesan. Antara kegiatan majlis ini ialah mengadakan forum-forum, membincangkan isu semasa, menyusun strategi perjuangan kebangsaan dan mengendalikan program politik mereka. Sebuah akhbar iaitu Wanthaw diterbitkan pada tahun 1927 untuk menyebarkan idea-idea perjuangan mereka.

            Terdapat juga perbezaan dalam aspek ekonomi. Matlamat perjuangan Sarekat Islam dalam ekonomi adalah untuk memajukan dan menggalakkan perniagaan dan perusahaan bangsa Indonesia di samping mewujudkan kerjasama bangsa Indonesia dalam bidang ekonomi. Sarekat Islam telah mengkritik Belanda kerana tidak berupaya memperbaiki taraf hidup masyarakat pribumi Indonesia yang mundur dan terbiar sejak tahun 1830. Sarekat Islam juga berjuangan menuntut supaya Belanda memperbaiki dan meluaskan kemudahan-kemudahan pertanian dan pengairan. Belanda juga mesti memiliknegarakan industri utama seperti kilang tekstil dan kilang besi. Sarekat Islam juga mahu kerajaan Belanda mengambil langkah-langkah dalam mengatasi kesengsaraan hidup penghuni-penghuni sebelum pembelian tanah dijalankan.

            Berbanding dengan perjuangan pongyi. Mereka telah menunjukkan kepentingan dalam bidang ekonomi. Pongyi lebih memberi perhatian kepada para petani dalam memastikan penglibatan golongan ini dalam agenda politik negara. Pongyo mendorong para petani supaya melakukan penentangan dan protes seperti tidak membayar cukai daripada memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat Burma sendiri.

            Perbezaan pula dapat dilihat menerusi keberkesanan perjuangan. Dalam gerakan penentangan ini, Sarekat Islam telah menerima tentangan darpada Belanda terutamanya persatuan ekonomi dan politik iaitu sebuah parti yang telah ditubuhkan pada Januari 1919. Di antaranya ialah menyekat atau menentang pengaruh pemimpin Sarekat Islam. Mereka juga membentuk pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan nama-nama Arab dan melaungkan tujuan memperjuangkan agama Islam dan kerjasama di kalangan ahli-ahlinya untuk melemahkan perjuangan Sarekat Islam. Selain itu juga, parti ini telah mempengaruhi kerajaan Belanda supaya bertindak keras ke atas kegiatan-kegiatan Sarekat Islam seperti peristiwa Garut. Sarekat Islam juga menghadapi maslah sehingga berlakunya perpecahan. Ideologi komunisme dalam Sarekat islam telah menggugat sorak perjuangan Sarekat Islam yang menggunakan Islam sebagai asas perpaduan. Penyerapan ideologi ini menyebabkan ahli-ahli yang tidak menitikberatkan Islam telah menganggap komunisme sebagai pilihan baru dalam memperjuangkan matlamat politik mereka.

            Berlainan dengan perjuangan gerakan pongyi yang menunjukkan kejayaan menerusi pemisahan Burma dan Persekutuan India. Pengumuman pemisahan itu menyebabkan Dr. Ba Maw muncul membantah kerana mengesyakinya sebagai satu muslihat Inggeris untuk melambatkan perlembagaan di Burma. Golongan pongyi telah memberi sokongan kepada Pertubuhan Anti-pemisah pada awal tahun 1930-an di bawah pimpinan Dr. Ba Maw. Pengaruh pongyi yang kuat ke atas petani telah memberi kejayaan dalam pilihanraya pada tahun 1932. Sementara itu, dalam Majlis Perundangan, Dr. Ba Maw berjaya mengemukakan undi tidak percaya terhadap para menteri menyebabkan mereka berhenti berkhidmat dan tempat mereka diambil alih oleh Dr. Ba Maw dan U Ba Pe.

            Kesimpulannya, perjuangan Sarekat Islam dan golongan pongyi dalam menentang penjajaha adalah antara pencetus semangat nasionalisme masyarakat pribumi Asia. Walaupun terdapat perbezaan dalam menjalankan perjuangan, namun matlamat mereka adalah sama iaitu bagi memperjuangkan kemerdekaan dengan menjadikan aspek agama sebagai lambang penyatuan dan landasan kepada perjuangan mereka dalam menentang penjajah.