Make your own free website on Tripod.com

SOALAN 33

PENDIDIKAN DAN BAHASA MEMAINKAN PERANAN YANG PENTING DALAM KESEDARAN MASYARAKAT TERHADAP NASIONALISME. BINCANGKAN.

ZAILAN BIN ABU BAKAR

 

            Bermula pada abad ke-19, kebanyakan negara Asia telah dijajah oleh kuasa asing disebabkan kepentingan ekonomi dan politik. Penindasan yang dilakukan oleh penjajah ke atas penduduk Asia telah membawa kepada kemunculan semangat nasionalisme di kalangan penduduk Asia. Kebangkitan nasionalisme ini merupakan satu bentuk kesedaran untuk menebus maruah yang tercemar melalui dasar penjajahan kuasa asing. Semangat nasionalisme ini hampir boleh dilihat di semua negara Asia. Pendidikan dan bahasa adalah dua elemen penting dalam perjuangan menentang penjajah.

            Perkembangan sistem pendidikan telah membantu dalam melahirkan tokoh-tokoh yang berpelajaran. Tokoh-tokoh inilah yang menjadi penggerak kepada gerakan nasionalisme di negara masing-masing. Umumnya, pendidikan memberikan satu rangsangan kepada golongan terpelajar ini untuk mendesak penjajah supaya melakukan anjakan ke atas bangsa yang dijajah. Maka bolehlah dikatakan penerimaan pendidikan oleh tokoh-tokoh ini bertujuan membentuk kekuatan masyarakat terhadap nasionalisme serta melakukan pemodenan ke atas negara. Apa yang pasti gerakan kesedaran tidak akan menonjol jika tiada individu yang memperoleh pendidikan. Ini kerana, kepimpinan menerajui sesuatu gerakan memerlukan seseorang yang berwibawa dari pelbagai aspek.

            Di Filipina, mereka yang menerima pendidikan barat adalah seperti Jose Rizal, Marcelo Del Pilar dan Andres Boritacio. Mereka telah terdedah dengan idea-idea moden seperti demokrasi negara merdeka, yang mana telah menimbulkan kesedaran memperjuangkan negara Filipina berdaulat. Kezaliman serta penindasan yang diamalkan penjajah ternyata mendorong mereka mengatur strategi. Antaranya, Jose Rizal memperlihatkan ketokohan dengan menubuhkan Liga Filipina yang menumpukan perjuangan terhadap pembangunan masyarakat.

            Indonesia – sistem pendidikan penjajah yang diterapkan berjaya menghasilkan tokoh berwibawa seperti Raden Adjeng Kartini, Tjipto Mangunkusomo dan Dr. Mas Wahidin Sudiro yang berperanan membekalkan kepimpinan meniup semangat penduduk menentang penjajahan Belanda. Raden Adjeng menubuhkan sebuah sekolah di Japara untuk anak-anak perempuan pegawai kerajaan. Dr. Mas Wahidin pula telah menjelajah Pulau Jawa untuk berkempen tentang perlunya dibina sekolah di desa. Masing-masing berjuang lantaran diskriminasi yang dikenakan pihak Belanda.

            Pengenalan pendidikan Inggeris di Burma memberi ruang orang Burma mendapatkan ilmu pengetahuan. Contohnya pada tahun 1884, Maktab Rangoon didirikan bagi menyediakan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Calcutta, India. Dengan kesempatan ini berjaya menghasilkan para intelek Burma memimpin gerakan nasionalisme. Mereka ialah Aung San, Thein Pe dan Thi Han yang digelar Thakin.

            Nguyen Hien, Duong Ba Trac, Phan Boi Chau, Phanh Chan Trinh adalah tulang belakang kebangkitan Vietnam. Corak perjuangan mereka berbeza. Phan Boi Chau menyebarkan idea serta pendapatnya melalui berkarya manakala Phan Chan Trinh mengamalkan sifat sederhana dan menentang pemberontakan terbuka terhadap Perancis. Mereka didorongi oleh kezaliman penjajah seperti penindasan cukai dan ketidaksempurnaan pendidikan yang diterima penduduk Vietnam.

            Di China, nasionalisme dicetuskan oleh pelajar yang menerima pendidikan Barat dan Jepun. Mereka adalah Dr. Sun Yat Sen, Lu Hsun dan Lu Shih. Golongan ini tidak berpuashati dengan pemerintahan kuasa imperialisme yang mengamalkan dasar perbezaan terhadap pentadbiran, ekonomi mahupun pendidikan. Terdapat juga tokoh berfahaman komunis seperti Chen Tu-Siu dan Mao Tse Tung. Chen Tu-Hsin menyatakan ideologinya dalam majalah New Youth.

            Pendidikan juga berfungsi sebagai tempat semai nasionalisme di kalangan bangsa terjajah. Kehadiran para cendekiawan membawa makna besar terhadap perjuangan untuk membebaskan negara mereka. Pendidikan memerlukan satu tempat khusus bagi menyampaikan ilmu. Di sini, berlaku satu perubahan di mana tertubuhnya pelbagai institusi pendidikan seperti universiti, sekolah, madrasah dan sebagainya yang digunakan sebagai medium untuk menyampaikan ideologi dalam melahirkan kesedaran masyarakat. Di samping itu, institusi ini berperanan membangunkan pemikiran rakyat yang masih diselubungi sikap kolot, adat-adat mengongkong penduduk dan pelbagai amalan lain yang hanya mencicirkan diri mereka.

            Semasa pemerintahan Amerika Syarikat di Filipina, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan oleh Presiden Mc Kialey iaitu Suruhanjaya Sheurman. Suruhanjaya ini telah mengemukakan cadangan untuk membantu rakyat Filipina menyediakan diri untuk berkerajaan sendiri, dengan pembukaan sekolah permulaan percuma di seluruh kepulauan Filipina. Begitupun, pendidikan yang ada telah mencetuskan semangat nasionalisme di kalangan rakyat Filipina. Mereka menuntut agar diberikan kemerdekaan sepenuhnya kepada Filipina.

            Di Burma, golongan sami Buddha telah menggerakkan nasionalisme peringkat awal. Golongan ini mendalami ilmu pendidikan melalui sekolah agama Buddha. Apa yang mendorong mereka ialah pengenalan pendidikan sekular dan terbinanya sekolah kerajaan dan mubaligh. Ini semua mengakibatkan sekolah agama Buddha merosot. Ramai rakyat Myanmar memahami agama Kristian di samping memperoleh jawatan dalam kerajaan. Tetapi jika dilihat dari satu sudut, pendidikan Baratlah yang menghasilkan golongan cerdik pandai seperti Jose Rizal di mana akhirnya menentang penjajah itu sendiri.

            Sementara Vietnam pula, penubuhan institusi Dong Kinh Nghia Thuc atau sekolah percuma oleh Nguyen, Duong Ba Trac cuba dijadikan sebagai langkah melatih penduduk Vietnam untuk berjuang membela nasib bangsa mereka yang ditindas. Ianya ditubuhkan di Hanoi pada Mac 1907 dengan diawasi Perancis. Selain memberikan pendidikan, sekolah ini juga berperanan sebagai pusat menerbit, menyunting dan menterjemah buku termasuk tulisan Phan Bhoi Chan dan Nguyen Phan Lang. Jelas salah satu teknik untuk menyemai nasionalisme.

            Bagi Indonesia ialah penubuhan stovia iaitu sekolah untuk latihan doktor pribumi. Dengan adanya pelajar yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat dan kawasan, maka tidak hairanlah andainya mewujudkan perpaduan bangsa utuh. Ia telah dijadikan pusat memupuk kesedaran kebangsaan di mana ideologi mereka sama ke arah membebaskan rakyat daripada ditindas. Dalam pada itu, peranan Taman Siswa tidak kurang pentingnya. Ditubuhkan pada tahun 1921 berobjektifkan pendedahan para pelajar dengan budaya sendiri dan melatih pemuda Indonesia untuk percaya kepada dirinya. Oleh itu, mereka yakin akan bangsanya hingga tercetus semangat nasionalisme.

            Keadaan yang sama turut berlaku di China setelah penubuhan Universiti Peking (PEITA). Ia telah memainkan peranan penting dalam mencetuskan semangat nasionalisme. Ini kerana para pelajar telah mendapat inspirasi dari pensyarah masing-masing. Para penuntut universiti banyak mendapat pengaruh  kerana pusat ini bukan sahaja bagi kegiatan belajar malahan tempat kegiatan berpolitik China. Kebangkitan pelajar China dapat dilihat semasa Ts’ai Yuan-P’ei menjadi Canselor PEITA 1916. Pendidikan yang diterima mencetuskan kesedaran bahawa mereka dieksploitasi penjajah.

            Perkembangan nasionalisme di India berkait rapat dengan penubuhan sekolah Hindu pusat di Banares yang kemudiannya dinaik taraf sebagai Universiti Hindu. Institusi ini telah menyelamatkan India daripada penderitaan dengan menghidupkan semula idea-idea agama Hindu purba. Ini telah memberi orang India satu identiti baru. Perpaduan menerusi satu pentadbiran pusat dan perluasan perhubungan dengan berbekalkan pendidikan menggerakkan masyarakat Hindu ke arah kesedaran kebangsaan.

            Setelah bertapaknya kesedaran dalam diri, maka boleh kita katakan peranan pendidikan seterusnya ialah kewujudan parti-parti dan kesatuan penduduk. Kedua-duanya saling berhubungan kerana tanpa kesedaran nasionalisme dalam diri penduduk, maka tidak akan terhasil persatuan yang bangkit menentang penjajah. Lazimnya, bagi golongan intelektual (tokoh-tokoh perjuangan), setelah adanya sentimen patriotik, perasaan itu akan dikumpulkan untuk membantu gerakan nasionalisme dengan lebih teratur dan berkesan. Untuk mencapai objektif ini, maka di sini perlunya sebuah organisasi yang boleh mempengaruhi rakyat. Pertubuhan-pertubuhan ini terdiri daripada aliran politik, agama mahupun sosial.

            Di Filipina, tokoh-tokoh seperti Jose Rizal, M. H. Del Pilar dan lainnya telah menubuhkan persatuan La Associacion Hispano-Filipina dan La Liga Filipina pada 3 Julai 1892 merupakan satu gerakan propaganda tetapi menemui kegagalan. Sementara rakan seangkatannya iaitu Andres Bonifacio, Tedoro Plata dan Ladislao pula menubuhkan Parti Katipunan (KKK) pada 7 Julai 1892. Penubuhan ini dirancangkan atas alasan penindasan dan diskriminasi penjajah ke atas penduduk tempatan.

            Melalui Dr. Mas Wahidin Sudiro dan dibantu Raden Soetomo dan Raden Goanawan, maka terbentuklah pertubuhan yang dikenali sebagai Budi Utomo dalam menggerakkan nasionalisme. Persatuan ini didasari pada perjuangan untuk memajukan kehidupan orang Jawa dan Madura dalam bidang pendidikan, pertanian, industri dan perdagangan. Ahli kelab pendidikan Bandung juga menubuhkan Parti Nasional Indonesia (PNI) pada 4 Julai 1927 di bawah pimpinan Sukarno yang bertujuan mencapai kemerdekaan Indonesia dari pihak Belanda.

            Manakala di Myanmar pula, pendidikan agama Buddha yang kian merosot mengakibatkan sekumpulan peguam muda dari Universiti Rangoon menubuhkan persatuan YMBA dengan menggunakan slogan “Buddha Penyelamat Kita dan Raja”. Ini adalah ekoran daripada pengenalan sistem pendidikan sekular Barat di samping isu kasut turut menjadi pemangkin kepada nasionalisme Myanmar pimpinan seorang radikal iaitu U Thein Maung. Kemunculan golongan Thakin telah mengambil alih gerakan ini. Tokoh seperti Aung San, U Nu Thien Pe dan Thi Han bertindak mewujudkan persatuan Dobama dan Liga Pemuda Myanmar. Mereka bermatlamat serupa iaitu menuntut kemerdekaan.

            Perjuangan oleh tokoh pendidikan Vietnam seperti Phan Boi Chan dan rakan-rakan lebih tersusun setelah menubuhkan persatuan Buy Than Hoi atau persatuan pemodenan. Sementara itu, dasar mempercayai kerjasama dengan penjajah dapat menyelesaikan masalah maka seorang pemimpin bernama Bui Quang Chien telah membentuk parti perlembagaan yang menuntut reformasi pentadbiran, soal keadilan, taraf hidup penduduk dan pendidikan. Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah tidak begitu jelas. Pendidikan yang dimiliki juga membolehkan penubuhan Parti Kebangsaan Vietnam atau VNQDD 1927 di bawah pimpinan Nguyen Thai Hoc. Antara lain perjuangan bermotifkan mendapatkan kemerdekaan secara ektremis iaitu melalui kekerasan.

            Sementara di China, pendidikan yang dimiliki oleh Dr. Sun Yat Sen membolehkannya menubuhkan persatuan nasionalisme tetapi menemui jalan buntu. Kegagalan beliau dalam usaha pertama menarik golongan rakyat ke arah nasionalisme moden tidak mematahkan semangatnya. Oleh itu jika kita lihat, beliau kemudiannya mewujudkan Revive China Society, Tung Meng Hui dan Knomintang (KMT). Jikalau diamati, jelasnya perjuangan ke atas pengusir penjajah tidak begitu ketara sebaliknya lebih kepada usaha menyingkirkan kerajaan Manchu. Sementara tokoh berfahaman komunis pula seperti Chen Tu Shin, Li Ta-Chao dan Mao Tse Tung membina parti komunis China (PKC) kerana melihat parti bercorak sederhana gagal mencapai matlamat.

            Siswazah-siswazah di Universiti Calcutta juga telah mengasaskan sebuah pertubuhan kebangsaan bagi kemajuan moral dan politik negara ibunda mereka, dengan itu terbentuklah Kongres Kebangsaan India. Ia mewakili pendapat orang India di seluruh negara yang tidak berpendidikan dan melindungi kepentingan mereka. Mereka ini sangat pintar dan sedar akan keperluan masyarakat seluruh India serta lebih faham akan masalah yang dihadapi daripada kerajaan British.

            Peranan pendidikan agam juga tidak boleh diketepikan iaitu merupakan teras kepada nasionalisme tempatan. Kita tidak dapat nafikan aspek ini kerana kedatangan kuasa asing membawa perubahan dalam sistem pendidikan tradisional (diganti pendidikan sekular). Penjajahan ini telah meningkatkan kemarahan untuk mengusir penjajah. Di China contohnya, pendidikan yang diamalkan tertumpu kepada ajaran confucianisme, Taoisme dan Buddhisme. Banyak sekolah dan kuil dibina serta telah memberi kesan mendalam terhadap corak pemikiran masyarakat China. Kedatangan Barat menyebabkan pendidikan agama semakin merosot peranannya. Sistem pendidikan Barat yang diperkenalkan membolehkan pembinaan gereja dan ramai orang China dikristiankan. Atas sebab-sebab ini berlaku penentangan-penentangan.

            Keadaan yang sama juga berlaku di Burma. Sistem pendidikan agama Buddha pada awalnya bertapak kukuh, lengkap dan sesuai dengan keadaan setempat. Namun, pengaruhnya ajaran agama orang Burma dan kuil mulai longgar kerana British telah menghapuskan pengaruh istana sebagai pusat perkembangan agama dan kebudayaan Burma. Akibatnya, golongan sami dan guru-guru tradisional tidak lagi dipandang tinggi dan berlaku kemasukan orang India bagi menjawat jawatan dalam perkhidmatan kerajaan.

            Selain itu, sekolah aliran confius juga telah memainkan peranan yang penting dalam mencetuskan kesedaran nasionalisme. Ini kerana ajaran confiusme seperti doktrin “mengelak daripada perkara benar dan adil adalah curang dan penakut” telah menanamkan sifat berani untuk menegakkan kebenaran dalm diri masyarakat Vietnam. Ini telah mencetuskan nasionalisme kerana penjajah Perancis tidak berlaku adil dalam pemerintahan. Maka berlaku gerakan mangusir Perancis dari Vietnam.

            Dengan tertubuhnya pelbagai institusi pendidikan, secara tidak langsung membawa kepada perkembangan bahasa. Penggunaan bahasa amat penting di mana penyeragaman perlu bagi membolehkan segala maklumat disampaikan ke seluruh wilayah. Ini kerana bahasa merupakan elemen penting untuk mewujudkan kesepaduan ke arah nasionalisme. Setiap kali kita membincangkan nasionalisme, pasti tergambar di dalam fikiran kita akan diskriminasi yang dilakukan penjajah. Maka dengan itu, perkembangan bahasa boleh dilihat dari dua sudut. Pertama; perkembangan bahasa penjajah dan kedua; perkembangan bahasa tempatan.

            Konteks pertama antaranya negara China. Penjajahan yang dilakukan oleh kuasa Barat menyebabkan sistem pendidikan sekolah diwawarkannya semakin bertapak kukuh. Di sini berlaku perkembangan bahasa penjajah. Aspek ini boleh dilihat apabila Kerajaan Manchu, China telah menggalakkan para pegawai mempelajari tamadun Barat terutamanya dalam bidang ilmu pengetahuan termasuk bahasa asing. Beberapa buah maktab bagi mempelajari bahasa asing telah ditubuhkan. Contohnya, Tung Wen Kuan (1862), maktab-maktab bahasa asing di Shanghai (1863), Canton (1864) dan FooChow (1866).

            Perkara yang sama turut melanda Filipina. Ini terbukti apabila kerajaan Sepanyol berjaya menyatukan Filipina melalui bahasa Sepanyol walaupun terdapat bahasa tagalog dan Inggeris. Bahasa Sepanyol diajar dan menjadikan gereja-gereja serta sekolah mubaligh sebagai pusat pendidikan. Hasilnya, ramai cendekiawan seperti Jose Rizal, Marcelo Del Pilar dan Juan Lona yang akhirnya bangkit menentang penjajah.

            Sementara di Burma, penggunaan bahasa Burma di kalangan masyarakat semakin merosot dan tidak begitu penting ekoran daripada perubahan yang dilaksanakan pihak British ke atas sistem pendidikan Burma. Sebaliknya, penggunaan bahasa Inggeris makin hari makin pesat dengan terbinanya sekolah-sekolah aliran Inggeris.

            Lain pula halnya di Indonesia. Bahasa Melayu telah bertindak sebagai bahasa rasmi dalam segala urusan termasuk pentadbiran. Perkembangan ini bertitik tolak daripada kelemahan pihak belanda kerana membenarkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan. Sikap angkuh Belanda membawa padah kerana penggunaan bahasa yang sekata di seluruh wilayah Indonesia membolehkan penyebaran mesej-mesej berunsurkan nasionalisme dengan mudah sampai ke pengetahuan masyarakat. Akhirnya, dapat kita perhatikan berlaku penentangan seperti pemberontakan dan peperangan untuk mengusir Belanda.

            Dalam pada kita membincangkan soal pendidikan, seperkara lagi yang perlu kita ketahui ialah aspek bahasa di mana bahasa juga dijadikan sebagai lapangan untuk memperjuangkan nasib penduduk Asia yang dihimpit penjajah. Melalui bahasa, pelbagai maklumat dan pengetahuan tentang perjuangan dapat disebarkan. Sekiranya bahasa itu sukar difahami, sudah tentu mesej perjuangan yang cba disampaikan mengahadapi masalah.

            Justeru, bolehlah dikatakan bahawa bahasa berperanan sebagai alat komunikasi dan pertuturan. Pada amnya, penduduk sesebuah negara yang dijajah memiliki bahasa tersndiri sebagai perantaraan perhubungan. Di Indonesi misalnya, berjuta-juta penduduknya berkongsi dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama walaupun dari segi kedudukan geografinyaagak sukar dipercayai. Dengan ini, segala penyampaian ideologi nasionalis dapat difahami dengan mudah malah penduduk boleh bertukar-tukar pandangan tentang gerakan kesedaran kebangsaan.

            Bagi India pula, bahasa Inggeris digunapakai malahan turut diseragamkan di mana ini membolehkan pelbagai kaum berinteraksi sesama mereka. Sebelum ini, pelbagai kaum yang berbeza-beza di India menggunakan bahasa daerah atau loghat mereka sendiri. Penggunaan bahasa yang sama di semua peringkat memudahkan pendedahan orang India kepada ideologi-ideologi politik dan perkembangan semangat nasionalisme.

            Di China, pengenalan bahasa Kuo Yu atau bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar telah memainkan peranan penting dari aspek berkomunikasi. Rakyat lebih mudah berurusan tanpa dibelenggu masalah pertuturan lagi. Ini krana masyarakat China sememangnya dikenali kerana memiliki pelbagai pertuturan seperti Kantonis, Hokkien dan sebagainya. Penggunaan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi telah dijadikan pemudahcara dalam penyebaran maklumat sesama golongan nasionalis.

            Seperti yang kita sedia maklumi, sesebuah negara terdiri daripada beberapa wilayah atau daerah yang memisahkan mereka. Sudah tentu wujud perbezaan ketara samada dari segi agama, budaya, bahasa dan ini sekaligus menyukarkan usaha menggerakkan semangat nasionalisme. Justeru, penggunaan bahasa yang seragam tidak dinafikan mampu mengikat perpaduan di kalangan penduduk. Ini kerana mereka berkomunikasi, bertukar pandangan dan akhirnya bergerak seiringan ke arah membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

            Sebagai contoh di Indonesia. Daripada segi geografinya, ia terdiri daripada beribu-ribu pulau dan memiliki pelbagai bangsa dan budaya. Namun atas konsep rumpun Melayu dan bahsa Melayu, maka kepulauan-kepulauan tersebut dijadikan sebuah entiti politik. Apa yang penting ialah penggunaan bahasa Melayu telah berjaya mewujudkan perpaduan di kalangan penduduk di samping memberi kesedaran kepada mereka tentang masalah penjajahan Belanda ini. Idea Melayu Raya atau Indonesia Raya adalah contoh terbaik memperlihatkan perpaduan bangsa Indonesia.

            Di India, bahasa penjajah atau bahasa Inggeris memainkan peranan sebagai alat untuk menyatu padukan rakyat yang bertutut dalam pelbagai dialek. Tindakan penjajah ini yang menjadikan bahasa Inggeris adalah bahasa rami membantu perkembangan nasionalisme. Ini kerana penggunaannya yang meluas di kalangan rakyat India membolehkan pelbagai kaum berkomunikasi dan bertukar-tukar makluamt melalui bahasa yang difahami semua. Ia juga dapat memecahkan kecenderungan sempit dan semagat kewilayahan yang selama menghalang kesedaran kebangsaan di kalangan orang India.

            Bahasa juga dilihat sebagai lambang identiti atau menunjukkan sesuatu bangsa itu. Hal ini boleh ditinjau di negara Vietnam. Pengenalan sistem tulisan quoc-ngu iaitu tulisan yang dicipta mubaligh Katolik pada abad ke-17 telah memudahkan pembacaan dan pembelajaran bahasa Vietnam. Tulisan ini mudah dipelajari dan mampu memperkanal dan menterjemah perkataan Barat. Oleh itu, tulisan ini yang mempunyai banyak kelebihan telah menjadi lambang kemegahan Vietnam. Ini kerana bahasa telah dapat dipermudah dan difahami. Dengan adanya tulisan baru serta berjaya mencetuskan kesedaran masyarakat.

            Kesimpulannya, penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas negara-negara Asia serta penindasan dan diskriminasi yang dilakukan telah membuka mata rakyat agar berjuanag mendapatkan semula hak kebebasan daripada belenggu penjajah. Walauapapun, pendidikan dan bahasa merupakan dua kombinasi penting dalam mencetuskan kesedaran masyarakat terhadap nasionalisme.