Make your own free website on Tripod.com

SOALAN 23

HURAIKAN CIRI-CIRI PERJANJIAN YANG MENYEBABKAN KUASA PEMERINTAH PRIBUMI DIKUASAI OLEH PENJAJAH.

 

            KHAIRIAH BT. ABD. HAMID

 

            Perjanjian membawa maksud prihal berjanji antara dua pihak. Kedatangan kuasa barat di Asia telah membawa kepada kewujudan pelbagai perjanjian antara kuasa asing dan pemerintah pribumi. Ini adalah antara langkah awal yang mereka laksanakan dalam usaha memastikan matlamat mereka menguasai pelbagai aspek di Asia akan tercapai. Antara perjanjian yang wujud antara kuasa penjajah dan kuasa pribumi suatu ketika dahulu adalah seperti Perjanjian Kanagawa, Perjanjian Yandabo, Perjanjian Nanking, Perjanjian Bowring dan Perjanjian Biacnamoto.

            Antara ciri-ciri perjanjian yang memudahkan penjajah menguasai pemerintahan pribumi adalah penyerahan wilayah. Ia menjadi tuntutan penting kepada penjajah kerana melalui cara ini mereka dapatbertapak dengan lebih kukuh di Asia dan sekaligus dapat menguasai Asia. Ini dapat dilihat melalui Perjanjian Yandabo pada tahun 1826 yang melibatkan Inggeris dan Burma. Inggeris mahukan Arakan dan Tenasserim diserahkan kepada mereka agar mereka dapat meluaskan pengaruh mereka di kalangan masyarakat pribumi Burma. Perjanjian Nanking 1824 pula menyaksikan bagaimana British telah memaksa China menyerahkan Hong Kong kepada mereka kerana Hong Kong merupakan antara kawasan yang menjadi nadi kepada China. Sekiranya British dapat bertapak di Hong Kong, maka pengaruh mereka ke seluruh China adalah lebih mudah tersebar dengan meluas. Walaubagaimanapun, terdapat negara-negara yang terpaksa menyerahkan wilayah mereka semata-mata mengelakkan persengketaan dan ingin mengekalkan kemerdekaan, sebagaimana yang dilakukan oleh Siam yang menyerahkan Kemboja pada tahun 1867, Laos dan Siamreap kepada Perancis sewaktu kuasa tersebut menguasai Vietnam.

            Pampasan juga merupakan salah satu ciri perjanjian yang dilaksanakan sebagai syarat dan alasan untuk menguasai pentadbiran wilayah Asia. Peperangan yang dilakukan akibat tindak balas pribumi menyebabkan penjajah mengalami kerugian yang besar. Bagi menggantikan kerugian yang dialami, mereka telah meminta para pemerintah pribumi di Asia agar membayar gantirugi tersebut mengikut nilaiyang mereka tetapkan. Contohnya, dalam perjanjian Yandabo, British telah meminta kepada Burma agar membayar gantirugi sebanyak 10 juta rupee kepada mereka, tetapi Burma hanya dapat melangsaikan gantirugi tersebut pada oktober 1832. Kejayaan Amerika Syarikat menundukkan kedegilan China untuk menerima kuasa Barat dinegaranya juga menyebabkan akhirnya China terpaksa akur dan dipaksa pula membayar gantirugi sebanyak 21 juta tael denga pecahan; 6 juta penyerahan candu, 3 juta penyelesaian hutang HK kepada saudagar British dan 12 juta untuk belanja perang. Di Vietnam pula, dalam Perjanjian Vietnam-Perancis, Vietnam dikehendaki membayar ganti rugi perang berjumlah 4 juta piatres dimana setengah daripadanya dibayar kepada Sepanyol.

            Dalam kebanyakan perjanjian yang ditandatangani juga, didapati bahawa perletakan konsul di sesebuah kawasan perdagangan adalah amat penting. Konsul ditugaskan untuk memantau kegiatan ekonomi dan perdagangan di sesebuah kawasan. Ini adalah bagi membolehkan mereka memegang dan menguasai ekonomi di Asia sebagai usaha mengukuh kedudukan di Asia. Dalam Perjanjian Bowring 1855, British telah mengarahkan agar konsul British dilantik dan ditempatkan di Bangkok. Amerika juga dilihat cuba menguasai pelabuhan utama di Jepun iaitu pelabuhan Shimoda dengan menempatkan seorang konsul, melalui persetujuan yang telah dicapai menerusi Perjanjian Kanagawa.

            Selain itu, penasihat Inggeris juga dihantar ke negara jajahan bagi memastikan kedudukan mereka bertambah kukuh. Ini bertujuan untuk mencampuri urusan dalam bidang politik agar mereka berkuasa sepenuhnya. Antaranya ialah pada September 1826, John Crowford telah dihantar ke Amarapura sebagai duta dan ditugaskan untuk berunding. Perundingan dilakukan untuk berbincang mengenai perjanjian, pandangan dan hubungan diplomatik antara Calcutta dengan Ava. Beliau telah menerima layanan buruk daripada Raja Burma. Pada 1830 pula, seorang resideng Inggeris telah dilantik iaitu Henry Burney yang pada awalnya menerima layanan baik tetapi terpaksa dipindahkan di Rangoon kerana ketidakpuashatian masyarakat tempatan.

            Ciri-ciri perjanjian yang turut menyumbang dalam penjajahan ialah kebenaran perdagangan. Perdagangan merupakan aktiviti utama bagi kuasa barat untuk membantu mengukuhkan ekonomi demi kepentingan diri mereka sendiri. Menyedari bahawa Asia giat dengan perdagangan maka kuasa barat mencari tapak untuk menguasai perdagangan dengan cara yang paling mudah. China pada awalnya telah mengamalkan dasar tutup pintu kepada kuasa Barat dan hanya menggunakan canton sebagai pelabuhan perdagangan yang boleh dijalankan oleh kuasa barat, ini telah menyekat Inggeris untuk bebas berdagang. Hanya melalui Perjanjian China, akhirnya China telah membuka 5 pelabuhannya iaitu Canton, Amoy, FooChow, Ningpo dan Shanghai serta membenarkan perdagangan bebas dengan Inggeris, ini dilaksanakan melalui Perjanjian Nanking 1842. Perjanjian Kanagawa pula telah menyebabkan Jepun telah membuka 2 pelabuhan utamanya iaitu Shimoda dan Hakodate.

            Ciri yang terdapat dalam perjanjian juga dapat dilihat dari aspek agama dan kepercayaan. Akibat daripada pembukaan pelabuhan kepada pedagang dan mubaligh Kristian dari Barat, telah wujudnya pencemaran budaya merangkumi bahasa, adat dan agama. Contohnya, dalam Perjanjian Bowring, kemasukan mubaligh kristian adalah dibenarkan selaras dengan pembukaan pelabuhan perdagangan kepada pedagang asing. Begitu juga dengan Perjanjian Kanagawa, walaupun tidak berapa dipersetujui oleh pemerintah pribumi namun demi mengelakkan peperangan akibat perlanggaran perjanjian, mereka terpaksa menerima kemasukan mubaligh kristian, malahan pihak British sentiasa memastikan para mubaligh Kristian akan dilindungi dan dijaga kebajikannya oleh para pemerintah pribumi. Hal ini telah melihatkan beberapa pencemaran agama telah berlaku dan ini amat membimbangkan pemerintah dan golongan agama tempatan apatah lagi apabila bilangan penganut Kristian di kalangan masyarakat tempatan semakin meningkat.

            Di samping itu, kuasa Barat meminta agar penyerahan kuasa diberikan kepada mereka untuk meluaskan pengaruh mereka, terutamanya dari aspek ekonomi dan politik. Apabila kuasa politik dapat dipegang makan mudah bagi mereka untuk menguasai setiap aktiviti ekonomi yang dijalankan antara penduduk tempatan dengan penjajah. Contohnya, Perjanjian Perancis-Kemboja 1863 yang berpunca dari sikap Perancis yang cuba membantu Kemboja dalam pemberontakan. Hakikatnya, Perancis berminat dengan Kemboja dan mempengaruhi Raja Norodom untuk menandatangani perjanjian dengan Perancis. Akibatnya, Raja Norodom menjadi raja boneka di bawah kekuasaan Perancis setelah Kemboja menjadi negara naungan Perancis. Perjanjian Yandabi 1826 pula telah menyebabkan Burma tidak dibenarkan untuk campur tangan dalam hal ehwal Assam, Jaintia, Chachar dan Manipur. Bermakna, daerah berkenaan sepenuhnya dikuasai oleh penjajah Barat dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

            Konsesi bermaksud hak atau keizinan yang diberikan kepada syarikat untuk menggunakan sesuatu kawasan kerana ingin menjalankan kegiatan ekonomi mereka. Biasanya, mereka mahukan sikap tolak ansur dari masyarakat tempatan dalam tuntuta atau perundingan yang dijalankan. Ini dapat dilihat dalam Perjanjian Bowring 1855. Konsul British yang dihantar ke Bangkok menyebabkan rakyat British boleh membeli dan menyewa tanah ke dalam lingkungan 6 kilometer dari Bangkok. Ini ditambah pula dengan pemberian hak-hak wilayah asingan kepada British di Siam, maka mudah untuk rakyat ini bertapak dan menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi dan politik.

            Ciri-ciri yang terdapat di dalam semua perjanjian yang ditandatangani antara Asia dengan British secara keseluruhannya, lebih membawa keuntungan kepada British bukan kepada asia itu sendiri.Ini membuktikan bahawa British berjaya bertindak bijak dengan menipu melalui beberapa perjanjian yang telah dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak dalam usaha menguasai Asia.