Make your own free website on Tripod.com

SOALAN 13

BANDINGKAN CIRI-CIRI DASAR EKONOMI DI NEGARA-NEGARA ASIA SELATAN DAN ASIA TENGGARA.

 

SITI FATIMAH BT. MUHAMMAD

 

Salah satu sektor terpenting yang harus diberi perhatian yang mendalam dalam melihat struktur masyarakat tempatan ialah sektor ekonomi. Umumnya, Asia Selatan dan Asia Tenggara sehingga abad ke-20 masih menjalankan aktiviti asas dalam ekonomi iaitu pertanian. Sebelum kedatangan orang Eropah, sistem ekonomi sara diri merupakan amalan ekonomi utama yang dijalankan di negara-negara Asia Selatan dan Asia Tenggara. Malah pada abad ke-19, kuasa-kuasa Barat telah memajukan bidang pertanian dengan memperkenalkan tanaman kontan. Namun, kemunculan imperialisme Barat sedikit sebanyak telah mengakis ekonomi tradisi melalui pengenalan dasar-dasar ekonomi baru di negara-negara Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Di Indonesia, sistem ekonomi komersial berkembang dengan pesat akibat pengenalan sistem Kultur atau Sistem Tanaman Paksa. Sistem Tanaman Paksa ataupun dikenali juga sebagai Rodi Tanaman ini diperkenalkan di Pulau Jawa pada tahun 1830 oleh Belanda. Tujuan utama ia diperkenalkan ialah untuk menyelesaikan masalah kewangan Belanda dengan menambahkan pengeluaran tanaman jualan seperti kopi, nila, tebu dan tembakau. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk meninggikan taraf hidup kaum petani di Indonesia.

Ciri sistem Tanaman Paksa ialah 1/5 daripada tanah pertanian digunakan untuk tanaman kerajaan dan dikecualikan daripada cukai. Manakala petani-petani dikehendaki bekerja selama 66 hari setahun. Seterusnya, hasil yang melebihi nilai cukai akan dikembalikan kepada petani dan jika berlaku malapetaka, petani-petani tidak perlu membayar cukai. Selain itu, pekerja-pekerja di bawah wedana dan terdapat pengkhususan kerja. Ciri yang terakhir ialah pegawai-pegawai Belanda menguruskan proses mengeksport hasil tanaman kerajaan ke negara Belanda. Sistem ini telah memberikan keuntungan bersih yang lumayan kepada Belanda. Belanda telah memperoleh 823 juta guilder dengan cara melakukan penindasan dan pemerasan ke atas petani Jawa. Akibatnya sistem ini ditentang hebat oleh golongan berfahaman liberal dan akhirnya digantikan dengan Dasar Liberal.

Dasar Liberal diperkenalkan untuk menggantikan sistem Kultur yang bertujuan untuk menjaga kebajikan rakyat jelata. Matlamatnya ialah untuk memperbaiki taraf hidup para petani serta memberi peluang yang lebih luas kepada kemasukan pelabur-pelabur persendirian dari belanda dan Eropah untuk menceburi bidang ekonomi Indonesia. Di bawah Dasar Liberal, pemodal-pemodal swasta dapat menguasai perniagaan dan membuka ladang-ladang besar. Banyak tanaman baru diusahakan seperti koko, kopra, kelapa sawit dan getah, malahan kegiatan ekonomi ini telah diperluaskan ke pulau-pulau luar seperti Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi. Selain itu, dasar Liberal juga adalah berkonsepkan kebebasan dan tidak ada perlindungan yang diberi di bawah dasar ini.

Dasar Liberal ini turut meninggalkan beberapa kesan negatif ke atas penduduk Indonesia. Taraf hidup penduduk peribumi tidak dijaga. Kebajikan peribumi diabaikan. Pengusaha swasta lebih mengutamakan keuntungan sahaja. Ini mengakibatkan peribumi Indonesia masih ditindas dan dieksploitasi untuk kepentingan mereka. Di bawah dasar ini, peladang-peladang Indonesia tidak dapat bersaing dengan pengusaha-pengusaha swasta Eropah. Ini menyebabkan mereka terpaksa menjual ladang-ladangnya kepada peladang-peladang yang kaya dan bekerja sebagai buruh bergaji. Dengan ini, jelaslah yang Dasar Liberal juga seperti Sistem Tanaman Paksa yang tidak menjaga kepentingan kebajikan peribumi Indonesia. Akibatnya, ia mendapat tentangan dan diganti dengan Sistem Etika.

Sistem Etika atau Dasar Susila dianggap lebih berperikemanusiaan berbanding dasar-dasar sebelum ini. Dasar Etika adalah hasil dari kegagalan Dasar Liberal. Dasar ini mempunyai unsur-unsur moral dan kemanusiaan dalam pelaksanaanya. Di bawah dasar ini, keadaan ekonomi dan sosial penduduk Indonesia dapat ditingkatkan, dengan membawa kemajuan dalam bidang pertanian, perlombongan, perdagangan, pelajaran, kesihatan dan infrastuktur. Ini adalah hasil dari kerjasama kerajaan dan swasta.

Selain itu, kerajaan juga telah memajukan kemudahan pengairan iaitu antara tahun 1900-1940 dan lebih 270 juta guilder telah dibelanjakan ke atas kerja-kerja perairan. Di samping itu, kemudahan infrastruktur juga dimajukan. Kemudahan-kemudahan kredit turut disediakan dan perkhidmatan kesihatan turut diperluaskan ke kawasan-kawasan luar bandar dan kampung-kampung. Di bawah dasar ini juga, sistem pendidikan ala Barat telah diperkenalkan. Kemudahan pendidikan di peringkat desa telah bertambah 31/2 kali ganda antara tahun 1909-1912. Dengan itu, menjalang akhir abad ke-19 hampir kesemua kawasan yang membentuk republik Indonesia telah berada di bawah pemerintahan Belanda kecuali Pulau Timur (bawah Portugis) dan Bangkahulu (bawah British).

Di Filipina pula, orang Sepanyol telah memperkenalkan Sistem Polo (sistem buruh paksa) dan Sistem Vandala (sistem paksa). Dalam Sistem Polo, semua orang Filipina yang berumur 18-60 tahun kecuali ketua-ketua dan anak-anak mereka yang tua terpaksa bekerja secara percuma selama 40 hari dalam setahun dengan gaji yang kecil dan adakalanya tidak dibayar. Mereka hanya diberikan beras untuk menyelamatkan diri daripada mati kebuluran.

Manakala Sistem Vandala pula ialah sejumlah barang-barang tertentu yang mesti diserahkan oleh orang-orang Filipina kepada kerajaan secara paksa. Barang-barang yang diserahkan itu kadang kala tidak diberikan bayaran sebaliknya hanya diberikan wang-wang kertas yang tidak berharga. Vandala ini dijadikan sebagai ufti kepada kerajaan yang dikenakan ke atas orang-orang Filipina.

Selain itu, Sistem Encomienda yang turut menindas dan memeras tenaga orang-orang Filipina juga telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Di bawah sistem ini, orang-orang Filipina yang miskin dipaksa membayar ufti yang tidak ditentukan, ada yang dikehendaki membayar ufti sebanyak satu peso dan ada pula sebanyak sembilan peso. Selain itu, mereka ini juga sering dikerah sebagai buruh. Paderi-paderi Filipina pula diberikan jawatan-jawatan rendah di bawah pengaruh paderi-paderi Sepanyol. Seterusnya, rakyat Filipina yang miskin atau memiliki harta yang sedikit pula dikenakan cukai yang tinggi misalnya barang-barang keperluan seperti beras, gula manakala barang mewah yang dimiliki oleh orang-orang berada dikenakan cukai yang rendah. Dalam sistem ini juga, wang dari hasil kutipan digunakan untuk kepentingan orang Sepanyol dan bukannya digunakan untuk membangunkan Filipina serta rakyatnya.

Manakala bagi negara-negara Asia Selatan contohnya di India, satu sistem percukaian tanah baru telah diperkenalkan oleh British yang dikenali sebagai sistem Zamindari (tahun 1793). Pengenalan sistem ini secara langsung telah menyebabkan berlakunya perkembangan pesat dalam sektor pertanian di Bengal. Jika pada tahun 1793, hanya 35% sahaja kawasan di Bengal diusahakan, namun menjelang penghujung abad ke-19, angka ini telah meningkat sehingga 80%. Dalam masa yang sama, sektor pertanian juga telah dijalankan secara komersial iaitu penumpuan diberikan kepada penanaman sejenis tanaman dan untuk tujuan eksport seperti jut, sutera, tebu, candu dan nila. Namun, masyarakat tempatan telah menjalankan pelbagai jenis tanaman terutamanya padi bukan untuk keperluan sendiri sahaja tetapi untuk memenuhi tuntutan kerajaan yang dibayar dalam bentuk cukai.

Misalnya bagi masyarakat di Bengal, hasil pendapatan dalam kadar tertentu haruslah dibayar dan diserahkan kepada kerajaan pusat di Delhi melalui zamindar. Golongan zamindar diletakkan sebagai golongan penengah antara pemerintah serta golongan petani. Cukai yang dibayar itu biasanya adalah dalam bentuk hasil. Zamindar yang bertanggungjawab mengutip cukai tersebut akan mengambil sebahagian hasil sebagai upahnya sementara sebahagian lagi akan dihantar kepada kerajaan. Sehingga penghujung abad ke-18, sistem ini masih dikekalkan di Bengal.

Ciri-ciri bagi sistem Zamindari ini ialah seperti kelas zamindar diisytiharkan sebagai tuan tanah yang mempunyai hak ke atas ladangnya. Seterusnya, zamindar bertanggungjawab untuk menjelaskan cukai ladangnya di mana 45% hasilnya dengan 6/10 diserahkan kepada kerajaan dan 1/10 disimpan oleh zamindar sebagai ganjaran. Cukai untuk setiap ladang milikan zamindar (1793) kekal sepanjang masa (dijelaskan dalam bentuk wang tunai). Selain itu, zamindar yang gagal menjelaskan cukainya akan dilucutkan tanahnya dan boleh dipenjara. Petani yang bermastautin (yang mengerjakan tanah dengan bayar sewa yang tetap selama 12 tahun) tidak boleh disingkirkan oleh zamindar kecuali jika gagal membayar sewa. Zamindar berhak menaikkan sewa jika kadar cukai ladangnya jatuh atau jika ia menyediakan kemudahan atau jika hasil tanahnya bertambah.

Sementara di Madras pula, British telah memperkenalkan satu sistem yang dikenali sebagai Ryotwari. Sistem ini diperkenalkan oleh Thomas Munro pada tahun 1912, sebelum diperluaskan ke kawasan-kawasan lain termasuklah Bombay pada tahun 1818. Sistem ini menyebabkan pembayaran cukai tidak melalui zamindar sebaliknya terus daripada petani kepada kerajaan. Melalui sistem ini, British berkeinginan untuk mengembangkan tanaman komersil seperti kapas, tebu, tembakau, nila, kopi dan lada di Madras untuk tujuan eksport. Menjelang pertengahan abad ke-19, terdapat lebih daripada 1 juta ekar tanah di Madras yang ditanam dengan kapas yang menghasilkan kapas mentah bernilai 55 juta. Keadaan ini sebenarnya didorong oleh kenaikan harga kapas mentah yang begitu tinggi antara period 1861-1865 dan menyebabkan petani memberi tumpuan serius kepada tanaman ini di wilayah mereka.

Antara ciri-ciri sistem Ryotwari ialah setiap keping tanah akan didaftar atas nama seorang petani yang bertanggungjawab membayar cukai. Jumlah cukai akan ditaksirakan setiap tahun dan antara 25% hingga 60% hasil tanah hendaklah diserahkan kepada kerajaan setiap T tanah. Pengutipan cukai akan dikendalikan oleh kerajaan. Petani yang gagal menjelaskan cukai akan dirampas tanah dan hartanya.

Kesimpulannya, perkembangan-perkembangan ini sebenarnya memaparkan bahawa aktiviti ekonomi bercorak komersial itu telah wujud sejak sekian lama di ketiga-tiga rantau termasuklah Asia Selatan dan Asia Tenggara. Namun kedatangan kuasa Barat sejak abad ke-16 sebenarnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi komersial ini. Kuasa-kuasa Barat yang datang dalam bentuk padang persendirian dan berkumpulan atau di bawah satu syarikat merupakan satu fenomena baru. Mereka bukan sekadar membawa bersama kapal-kapal dagang yang lebih besar saiznya berbanding pedagang Asia, malah turut memperkenalkan beberapa konsep komersial baru melalui dasar-dasar yang telah dibincangkan di atas. Melaluinya didapati bahawa terdapat beberapa persamaan dan perbezaan di antara sistem-sistem yang telah diperkenalkan sama ada di negara-negara Asia Tenggara mahupun di Asia Selatan.