SOALAN 11

HURAIKAN KESAN-KESAN DASAR BUKA PINTU DI SIAM, CHINA DAN JEPUN.

 

          KHAIRIAH BT. ABD. HAMID

 

            “Dasar buka pintu” merupakan satu dasar di mana sesebuah negara itu menjalankan dasar perluasan untuk kepentingan keselamatan dari aspek sistem ekonomi, politik dan juga sosial. Dasar ini dilaksanakan oleh ketiga-tiga kuasa besar Asia adalah disebabkan oleh kegagalan sistem pintu tertutup yang mereka laksanakan sejak sekian lama. Walau bagaimanapun, perlaksanaan dasar ini adalah didorong oleh pelbagai faktor yang berbeza antara setiap negara, namun atas tujuan yang sama. Di Siam, dasar buka pintu yang diasaskan oleh Raja Mongkut (1851-1868) dan diteruskan oleh Raja Chulalongkorn merupakan faktor-faktor penting dalam mendapatkan kemajuan, tambahan pula dengan sikap Raja Mongkut yang begitu terbuka dan cenderung ke arah kemodenan Barat. Di China pula, dasar buka pintu ini dijalankan oleh Amerika Syarikat bertujuan mewujudkan satu pasaran komersial yang bebas dan terbuka di negara China kepada semua negara asing. Sebaliknya di Jepun, kuasa-kuasa asing seperti Russia, British dan Amerika Syarikat telah cuba untuk membuka negara Jepun kepada perdagangan asing dan hubungan diplomatik.

            Perlaksanaan dasar buka pintu ini telah menimbulkan pelbagai implikasi dari aspek ekonomi, politik dan sosial ketiga-tiga buah negara tersebut. Implikasi atau kesan utama yang dapat dilihat ialah dari aspek ekonomi, di mana dasar buka pintu telah membuka ketiga-tiga buah negara tersebut kepada perdagangan antarabangsa. Perdagangan antarabangsa ini adalah merujuk kepada aktiviti urusniaga dan jual beli antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Di Siam, dalam menjalankan dasar buka pintu ini, Raja Mongkut telah membuka jalan perdagangan antarabangsa. Bukti perkembangan pesat perdagangan antarabangsa di Siam adalah melalui bilangan kapal yang datang berdagang di Bangkok telah bertambah 10 kali ganda dalam masa singkat. Pada tahun 1852, hanya terdapat hanya 3 orang pedagang Eropah. Tetapi, setelah Siam menjalankan dasar buka pintu ini, pada tahun 1856, bilangan kapal yang datang berdagang di Bangkok telah bertambah kepada 200 buah. Dalam jangka masa tersebut, Britain telah mula menguasai perdagangan asing Siam dan seterusnya muncul sebagai pelabur utama di Siam. Dengan ini, Britain telah menerima keuntungan yang banyak.

            Selain itu, Singapura dan Hong Kong (yang merupakan pelabuhan kolonial British) telah mula menjalankan perdagangan yang maju dengan Siam. Pada tahun 1941, 70% daripada perdagangan eksport Siam telah dijalankan oleh empayar British. Dapat dikatakan bahawa, Siam telah muncul sebagai satelit ekonomi yang utama kepada British.

            Di China pula, pelabuhan mula dibuka kepada kapal-kapal dagang luar seperti pelabuhan di sepanjang Sungai Yangtze. Ini adalah ekoran daripada perjanjian Nanking 1842. China juga, telah membuka 5 buah pelabuhan iaitu Amoi, Canton, Foo Chow, Lingpo dan Shanghau bagi menjalankan perdagangan bebas ini. Perdagangan antara China dan Amerika Syarikat yang kian pesat adalah berpunca daripada dasar perdagangan bebas yang diamalkan Amerika Syarikat disebabkan oleh pembangunan perindustrian yang pesat pada suku akhir abad ke-19. Amerika Syarikat berpendapat bahawa Negara China merupakan pasaran yang berpotensi bagi barangan keluarannya.

            Bagi negara Jepun pula, dasar buka pintu telah membawa kepada pertambahan bilangan orang Barat di Jepun, terutamanya di pelabuhan Yokohama. Pada tahun 1853, Komoder Perry telah mendesak Kesyogunan Tokugawa untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat. Ekoran daripada itu, termeterailah Perjanjian Tanagawa yang ditandatangani pada 31 Mac 1854 melalui 2 buah pelabuhan Jepun iaitu Pelabuhan Shimoda dan Hekodate telah dibuka kepada kapal-kapal Amerika Syarikat untuk mendapatkan bekalan makanan dan berdagang. Orang Amerika juga diberi hak melantik seorang konsul untuk tinggal di Shimoda dan diberi layanan “negara yang paling diutamakan”. Mereka juga diberi layanan dan kebebasan dalam wilayah asing dalam pengurusan awam dan jenayah. Ini jelas membuktikan berlakunya percampuran politik semasa Jepun membuka pintunya untuk negara Barat.

            Dari aspek sosial pula, kegiatan mengembangkan agama kristain oleh mubaligh Amerika dan Perancis telah dibenarkan di Siam, China dan Jepun. Kerajaan membenarkan penyebaran agama Kristian ini adalah disebabkan faktor untuk menjaga perhubungan serantau di samping dari kesan-kesan perjanjian yang telah dijalankan. Dengan ini, bertambahnya agama Kristian di negara mereka.

            Di Siam, kegiatan mengembangkan agama Kristian oleh mubaligh dibenarkan oleh Raja Mongkut. Mubaligh digalakkan menyebarkan ajaran mereka serta pengetahuan Barat. Ia adalah bertujuan untuk menjaga perhubungan serantau. Ini terbukti apabila sebuah sekolah Kristian telah ditubuhkan di Bangkok pada tahun 1852. Di samping itu, Perjanjian Bowring 1855 juga telah ditandatangani yang menyebabkan bertambahnya bilangan mubaligh kristian, ia merupak perjanjian persahabatan dan perniagaan antara Siam dan China. Dengan adanya perjanjian ini telah menandakan permulaan proses pembaratan Siam.

            Di China pula, hubungan perjanjian antra negara China dengan kuasa-kuasa barat bermulanya pembaratan di China. Selain Perjanjian Nanking, China juga telah menandatangani satu perjanjian dengan Norway dan Sweden. Perjanjian-perjanjian ini mempunyai ertian yang sangat penting kerana buat pertama kalinya, China telah mengadakan perhubungan dengan negara asing atas dasar persamaan taraf setelah sekian lama mengamalkan dasar tutup pintu terhadap negara luar. Ia juga telah menyebabkan kegiatan penyebaran agama Kristian oleh para mubaligh turut berkembang pesat. Apabila kegiatan kristian itu semakin berkembang dan dipelajari oleh setiap masyarakat di China, tertubuhnya persatuan pemuja-pemuja tuhan seperti Tzu-Ching Shan iaitu sebuah kawasan pergunungan strategik di Kwangsi Selatan.

            Di Jepun, penyebaran agama Kristian adalah agak terhad di bawah kawalan Syogun. Ini adalah bagi memelihara pengaruh agama nenek moyang mereka, agama shinto. Namun, ia tidak begitu diperketatkan lagi setelah Meiji mengambil alih pentadbiran.

            Dasar buka pintu juga telah mengakibatkan sistem ekonominya yang dahulu mencorakkan sara diri telah berkembang maju dan menjadi sebahagian daripada ekonomi perdagangan.

            Di Siam, dalam pemerintahan Raja Mongkut, sistem ekonomi sara diri tradisional Siam telah digantikan dengan sistem ekonomi komersial. Pengeluaran kayu jati, beras dan gula telah muncul sebagai barangan eksport negara Siam yang penting. Ini terbukti apabila jumlah eksport beras telah meningkat daripada 5% jumlah pengeluaran pada tahun 1850 kepada 50% jumlah pengeluaran pada tahun 1905. Akibatnya, dalam jangkamasa setahun sahaja, Siam telah mempunyai imbangan dagangan yang memuaskan serta pedagang-pedagang Barat telah berkerumun ke Bangkok untuk mendirikan kilang-kilang padi, gula dan minyak.

            Di China pula, pada tahun 1803, kementerian perdagangan ditubuhkan di Peking. Pada tahun 1903, nama kementerian tersebut telah ditukar kepada Kementerian Pertanian, Perindustrian dan Perdagangan. Penggunaan barang-barang keluaran negara China telah digalakkan oleh kerajaan. Pada tahun 1905, Yuan Shin-Kai telah mengadakan pameran perindustrian. Maktab-maktab teknikal juga telah dibina di beberapa wilayah negara China. Bank-bank moden juga telah ditubuhkan.

            Manakala di Jepun pula, pemimpin-pemimpin Meiji telah memainkan peranan penting dalam proses permodenan negara jepun. Kerajaan Meiji merupakan penggerak pemodenan yang utama dalam banyak bidang. Kerajaan Meiji telah menubuhkan Kementerian Perusahaan pada bulan Disember 1870. Perusahaan-perusahaan tempatan telah digalakkan melalui pemberian bantuan teknikal, subsidi dan pinjaman-pinjaman dengan kadar faedah yang rendah. Dengan menjalankan dasar buka pintu juga, kerajaan Meiji telah mengembangkan perusahaan-perusahaan strategik seperti membina kapal di Hyogo, Nagasaki dan Yokusuka. Dan membuat senjata dan peluru di Osaka Tokyo. Kerajaan Meiji juga telah mengembangkan perusahaan bukan strategik seperti tekstil, alat-alat mesin dan perlombongan. Pada tahun 1872, Kerajaan Meiji telah mengambil alih kilang tekstil di kawasan Osaka dan sebuah kilang kaca di Tokyo pada tahun 1876.

            Aspek sosial lainnya yang turut menerima kesan ialah perkembangan pendidikan di Siam, China dan Jepun. Kesan dari dasar buka pintu yang telah dilakukan oleh Raja Mongkut, beliau telah memajukan pemikiran dan mentaliti rakyat. Raja Mongkut telah menguatkuasakan pelajaran dengan memperkenalkab pelajaran Barat yang lebih maju. Raja Mongkut telah mengupah pendidik-pendidik Barat untuk mengajar kerabat diraja dan golongan bangsawan. Di antara guru yang terkenal ialah Anna Leononens yang telah tiba di Bangkok pada tahun 1862 dan berkhidmat sehingga tahun 1867. Selain itu, untuk memberi dan menyebarkan pelajaran Barat, Raja Mongkut telah menggalakkan penterjemahan buku-buku dari luar seperti dari Barat dan Arab untuk rakyat.

            Dasar buka pintu juga telah memberi kesan kepada bidang pendidikan di negeri China. Tujuan umum program pendidikan di China ialah untuk melatih dan memilih pegawai-pegawai secara lebih efektif. Sistem pendidikan moden yang diperkenalkan oleh kerajaan Ching pada tahun 1904 adalah berdasarkan model Jepun. Ia merangkumi pendidikan sekolah rendah (4 tahun), sekolah menengah (5 tahun), sekolah tinggi @ kolej (3 tahun) dan Universiti peking (3 tahun). Sukatan pelajaran moden yang mengandungi sejarah negara China dan Barat, sistem kerajaan dan ilmu sains telah diperkenalkan.

            Pada tahun 1905, sistem peperiksaan perkhidmatan awam tradisional (yang berdasarkan klasik-klasik China) dihapuskan. Kementerian Pendidikan ditubuhkan pada tahun 1906 untuk menyelia sekolah-sekolah. Kerajaan China menghantar ramai pelajar ke luar negeri untuk menuntut. Pelajar-pelajar China ini dihantar ke Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

            Manakala di Jepun, pemimpin-pemimpin Meiji mempunyai pegangan bahawa negara Jepun harus dipermodenkan melalui penggunaan ilmu pengetahuan Barat. Mereka sanggup memperkenalkan pembaharuan-pembaharuan yang radikal untuk menjamin kejayaan pemodenan negara Jepun.

            Namun begitu, kesan lain dari aspek politik yang paling utama ialah menerusi skop kemerdekaan. Di Siam, pembukaan perdagangan kepada negara luar telah membawa kepada pengekalan Siam sebagai negara yang merdeka dan tidak pernah dijajah. Walaupun Siam gagal mempertahankan kedaulatan ekoran pemberian kuasa kepada negara asing di wilayah tertentu, namun Siam tetap kekal sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah oleh negara asing kerana sikap pemerintah mereka iaitu raja Mongkut yang begitu terbuka dalam menerima kemajuan Barat.

            Di Jepun pula, dasar ini telah membawa kepada keruntuhan kerajaan Syogun Tokugawa dan bermulanya pemerintahan raja-raja Meiji. Ini adalah kerana berlaku pemberontakan yang tidak berpuas hati dengan sistem syogun ini.

            Manakala bagi negeri China pula, ia telah menyebabkan pembahagian China kepada wilayah-wilayah yang dikuasai oleh penjajah-penjajah Barat dan Jepun. Antaranya Inggeris menguasai kawasan Hong Kong dan Shanghai, Jepun menguasai wilayah Manchuria, Jerman pula di Wei-wei, Russia pula di Semenanjung Liao Ty dan Portugis di Canton.

            Secara keseluruhannya dasar buka pintu yang diamalkan di Siam, China dan Jepun telah membawa kepada pelbagai kesan dari aspek sosial, politik dan ekonomi. Implikasi ini turut membawa kepada pembaharuan, pemodenan dan pembangunan negara-negara tersebut.