Make your own free website on Tripod.com

SOALAN 02

SISTEM FEUDAL MENCORAKKAN BENTUK PEMERINTAHAN DALAM MASYARAKAT ASIA.

 

NURHUDA BT. MOHAMED FADZIL

 

            Feudalisme secara umumnya boleh didefinisikan sebagai satu bentuk kerajaan, iaitu kuasa politik dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian dan bukan kerajaan pusat. Pada asasnya, sistem ini seperti yang wujud di Eropah sejak abad ke-9 memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan tanah (lord) dan petani (vassal) yang disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lord. Satu pihak akan memberi perlindungan sementara satu pihak lagi memberi perkhidmatan ketenteraan dan keselamatan kepada raja. Selain aspek ketenteraan dan keselamatan, feudotari juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu termasuklah buruh untuk sistem kerah. Hubungan ini menentukan kedua-dua pihak memperoleh faedah dan keuntungan bersama.

            Jika dilihat dari segi strukturnya, sistem feudal memaparkan satu bentuk piramid. Di bahagian bawah sekali ialah golongan rakyat atau petani manakala di bahagian atas sekali ialah raja. Bahagian tengah pula ialah golongan pembesar yang bertanggungjawab menjadi ‘tali penghubung’ antara raja dengan rakyat dan secara praktikalnya turut bertindak sebagai tuan tanah. Dalam pemerintahan bercorak feudal ini, wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan subfeudatories di bawah pemerintahan seorang raja. Ia sangat terikat dengan pendapatan dari kampung.

            Di rantau Asia Tenggara, sistem feudal yang wujud adalah berasaskan masyarakat pertanian yang merupakan satu cirri umum utamanya. Raja adalah kuasa yang besar dan dianggap sebagai pemilik tanah yang boleh ditemui di semua kerajaan Asia Tenggara. Raja dianggap sebagai pemilik tanah seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tiga Tera di Siam serta perundangan di Burma. Raja dianggap sebagai tuhan yang mempunyai kuasa mutlak terhadap semua aspek termasuk kehidupan rakyat yang turut ditentukan oleh raja. Dalam masa yang sama, raja juga bergantung kepada pembesar daerah terutama dalam melaksanakan segala keperluan pemerintahan ataupun keperluan yang berbentuk peribadi.

            Sebelum kehadiran pihak Barat, sistem feudal yang dilaksanakan di Asia Tenggara menjelaskan bahawa kuasa pembesar wilayah adalah cukup besar. Dalam keadaan-keadaan tertentu, kuasa pembesar lebih besar daripada raja atau pembesar pusat. Berdasarkan kelayakan serta pengaruh tertentu, golongan pembesar telah menerima anugerah yang besar daripada raja termasuk mentadbir sebuah wilayah.

            Di Burma, sistem feudal yang wujud merupakan kesan daripada kebergantungan raja kepada golongan pembesar terutama Myowun (gabenor) dan Myosa (pembesar wilayah). Di ibu negeri terdapat empat orang Myowun yang mengendalikan hal ehwal tempatan, setiap orang mentadbir sebuah daerah di ibu negeri tersebut. Myowun yang berada di luar ibu negeri menjalankan kuasa atas dasar feudal iaitu mereka mempunyai kuasa besar memungut cukai sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada hasil tahunan rakyat. Sebahagiannya dihantar kepada raja di pusat dan sebahagiannya disimpan untuk kegunaan sendiri.

            Masyarakat Vietnam pula masih berpegang kepada sistem tradisi. Sistem pemerintahan di bawah Maharaja Gia Long dan selepasnya adalah bercorak birokratik yang berasaskan hierarki Mandarin. Negara dibahagikan kepada tiga wilayah iaitu Annam, Tongking dan Cochin-China. Wilayah Annam terletak di bawah kuasa raja manakala dua wilayah lagi dikuasai oleh wizurai yang mempunyai kuasa yang sangat besar. Wilayah-wilayah ini kemudiannya dibahagikan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil termasuk Provinci, Phu, Huyen, Tong, dan Kemun di mana setiap bahagian di tadbir oleh seorang pembesar. Pembahagian ini menyebabkan kerajaan pusat kurang memberi perhatian dan menyebabkan para pembesar mengukuhkan kedudukan masing-masing. Walaupun raja berkuasa mutlak, namun dalam keadaan sebenarnya, pembesar Mandarin yang menjalankan sistem sosial dan pemerintahan Vietnam.

            Sistem feudal di Asia Selatan pula telah diamalkan lebih kurang pada abad ke-4 sebelum Masihi. Sistem ini telah dilakukan oleh kerajaan Maurya yang turut menjadikan tanah sebagai elemen utama iaitu tuan tanah mempunyai hak yang lebih besar berbanding petani. Dalam sistem feudal di Asia Selatan, golongan keagamaan atau Brahmin turut terlibat. Brahmin merupakan pemilik tanah terutama geran-geran yang diberikan oleh pihak-pihak berkuasa sebagai satu keistimewaan terhadap golongan ini dan untuk menjaga status mereka di kalangan masyarakat. Mereka mempunyai kuasa autonomi yang besar pada tanah-tanah yang mereka miliki. Secara langsung, sistem feudal di Asia Selatan yang terus berlangsung sehingga pasca-kemerdekaan memperlihatkan satu keterikatan yang sangat kuat antara pihak berkuasa, bangsawan dan pemerintah tempatan, golongan agama dan petani yang menduduki atau menyewa tanah.

 

            Pada zaman kemuncak sistem feudal, iaitu sebelum kuasa Barat muncul pihak pemerintah yang terdiri daripada golongan raja merupakan pihak yang diberi seluruh taat setia mereka. Kelangsungan ini dapat dilihat di mana muncul ratusan raja-raja kecil yang menguasai wilayah-wilayah tertentu di Benua Kecil India. Kedatangan British pada tahun 1947 tidak mampu menguasai seluruh benua itu, dan masih terdapat raja-raja yang masih bebas. Raja-raja ini mempunyai pembesar-pembesar daerah atau digelar Nayaka yang bertanggungjawab menyediakan segala keperluan raja, mengutip cukai dan sebagainya. Untuk mempertahankan kedudukan raja, mereka telah menubuhkan pasukan ketenteraan yang terdiri daripada rakyat.

            Sistem feudal juga dijalankan di negara-negara Asia Timur. Di Jepun, sistem feudal dilihat secara jelas iaitu maharaja mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas segala aspek di bawah pemerintahannya termasuk tanah. Misalnya, pada zaman Kamakura antara abad ke-12 dan 14, keluarga Minamoto menjadi keluarga yang penting di Jepun. Selain itu, sistem feudal ini dapat tumbuh subur kerana tumbuhnya estet-estet persendirian yang dikenali sebagai syo atau syoen. Pertumbuhan estet-estet ini telah dipercepatkan oleh kemerosotan golongan aristokrat dan kebangkitan kelas perwira (buke).

            Di Jepun, sistem feudal telah menyebabkan satu corak tertentu dapat dilihat di mana telah melahirkan dua golongan yang saling bergantung antara satu sama lain, iaitu golongan tuan-tuan tanah dan daimyo yang bertanggungjawab menyumbangkan sebahagian daripada hasil tanah kepada maharaja. Golongan daimyo mempunyai hubungan yang kuat dengan petani dan tentera, tetapi golongan maharaja tidak banyak peranan. Kemunculan golongan tentera khusus (profesional) sebagaimana di Jepun begitu berpengaruh dalam menentukan hala tuju pemerintahan. Golongan daimyo merupakan kelompok yang sangat berkuasa di Jepun dan kuasanya mengalahkan kuasa maharaja. Golongan tentera mempunyai kebolehan yang besar dalam peperangan dan digunakan oleh golongan bangsawan untuk mempertahankan hak milik mereka atau menjaga keselamatan tuan-tuan mereka. Kekuatan daimyo ini menjadi tulang belakang kebangkitan daimyo sehingga maharaja tidak ada peranan.

            Secara ringkasnya, sistem feudal di Asia Tenggara dan Asia Timur mempunyai persamaan daripada beberapa segi iaitu raja atau maharaja memerintah hanya pada teorinya sahaja sementara kuasa sebenar banyak ditentukan oleh pembesar-pembesar. Pembesar-pembesar ini juga mempunyai gelaran yang berbeza mengikut kekayaan dan kedudukan. Golongan pembesar ini biasanya adalah golongan pemerintah. Selain itu, kerajaan terbahagi kepada dua iaitu kerajaan pusat dan wilayah di bawah kekuasaan pembesar. Tanah juga menjadi pengikat yang kuat dalam sistem feudal.

 

            Kesimpulannya, abad ke-19 dan 20 memperlihatkan satu perkembangan menarik dalam sejarah sistem feudal di Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur. Sejak sekian lama, ketiga-tiga rantau ini telah melaksanakan dan menerima sistem feudal sebagai sistem sosial mereka. Peranan pembesar wilayah mempunyai pengaruh yang sangat besar meskipun meletakkan raja atau maharaja sebagai kuasa tertinggi.