Make your own free website on Tripod.com

SOALAN 01

BINCANGKAN SISTEM PEMERINTAHAN BERAJA DI ASIA

 

SAMSUDIN ABD KADIR

 

P

emerintahan dalam masyarakat Asia sebelum pengaruh Barat muncul disandarkan kepada sistem beraja. Dalam sistem ini masyarakat memberikan kesetiaan yang tidak berbalah bahagi kepada raja. Kedudukan raja amat dihormati dan menjadi suatu keramat kepada rakyatnya. Dalam menilai dan mengkaji sistem ini ia dapat dinilai melalui konsep raja dari sudut pandangan rakyat.

Melalui konsep yang dipegang, rakyat melihat raja mereka sebagai individu manusia yang lain daripada manusia yang lain. Raja dilihat sebagai individu yang penuh keramat dan kesaktian. Raja mempunyai kuasa yang tidak ada tandingan dengan manusia lain. Keadaan seperti ini dapat dijelaskan melalui konsep ketuhanan atau kekuasaan ketuhanan yang ada pada raja. Dengan kata lain penghormatan rakyat terhadap rajanya bergantung pada kekuasaan ketuhanan yang ada pada raja itu. Dengan kepercayaan bahawa raja itu, sama ada ialah tuhan, anak tuhan, mempunyai kuasa tuhan atau individu lindungan tuhan, raja menjadi objek sama ada untuk disembah atau menurut segala arahan atau titahnya. Melawan atau cubaan memberontak menjadi satu kesalahan besar dan boleh menyebabkan mereka yang berkelakuan seperti ini disumpah atau dimurkainya. Kemurkaan raja ini dianggap sebagai kemurkaan tuhan dan individu yang melanggar kepercayaan ini akan mendapat kecelakaan. Kepercayaan seperti ini telah meletakkan raja dalam situasi yang selesa dan sentiasa mendapat kepatuhan daripada rakyat.

Keadaan seperti ini dapat digambarkaan melalui kepercayaan masyarakat Jepun yang percaya bahawa keturunan kemaharajaan Jepun daripada keturunan Amaratsu iaitu keturunan Dewi Matahari. Kedewaan maharaja Jepun menjadi masyarakat Jepun percaya maharaja mereka mempunyai satu kekuasaan terhadap rakyat dan negara Jepun. Begitu juga dengan kedudukan raja-raja Burma. Siam, dan Indocina. Raja-raja mereka dihubungkan dengan kesucian dan pengaruh Buddha Theravada. Mereka percaya bahawa bahawa kedudukan raja akan membantu mereka untuk mendapatkan kebahagian di dunia masa kini dan mendatang. Malahan bagi rakyat Burma, kedudukan dan kawasan istana raja dianggap suci. Rakyat perlu menundukan kepada mereka, membuka kasut, dan mematuhi peraturan istana bagi menghormati kesucian istana yang dianggap sebagai lambang kesucian dan ketuhanan. Sifat-sifat ketuhanan yang ada pada raja-raja ini membolehkan mereka dihormati lebih daripada individu manusia lain dan membolehkan mereka menjalankan pemerintahan dan pentadbiran tanpa banyak penentangan daripada rakyat. Keadaan ini ditambah dengan pengaaruh golongan cerdik pandai agama seperti para sami yang mendapatkan kedudukan yang tinggi selepas maharaja. Keadaan ini juga berlaku kepada Raja Siam yang menganggap dirinya sebagai raja segala raja ataupun divine kingship. Kedudukannya dihubunkan dengan kesucian agama Buddha dan membolehkan kedudukan raja Siam mengatasi lain-lain kerajaan beraja di muka bumi ini.

Jika Maharaja Jepun dianggap mempunyai kaitan dengan Dewi Matahari, Raja Nguyen di Vietnam menganggap dirinya anak tuhan atau Thein-tu. Dengan kedudukan ini raja Vietnam dianggap mempunyai hak dalam memerintah dunia. Beliau menganggap dirinya sebagai wakil kepada tuhan. Kedudukan ini membolehkan pengaruh dan kuasanya dapat dipeluaskan kepada seluruh rakyat dibawah pemerintahannya. Begitu juga dengan keturunan raja Kampucea seperti Ang Duang ( 1848 -1860 ) dan Sihanouk ( 1943 - 1970 ). Mereka dianggap suci keturunan yang suci. Kesucian ini membolehkan mereka membina pengaruh dan kuasa dalam memerintah negara.

Melalui konsep ketuhanan ini raja-raja di Asia beperanan dalam menentukan kesejahteraan negara dan rakyatnya. Sebagai contoh, Raja Burma berperanan dalam mengembangkan agama dan menjadi penaung dalam negara. Ia juga berperanan sebagai sumber penakluk negeri dan menjadi tunggak kekuaatan ketenteraan Burma seperti yang dipaparkan oleh Alaungpaya 1800an. Kekutan negara dapat diterjemahkan dengan kekuatan yang ada pada raja. Ini dapat disimpulkan dengan kepercayaan masyarakat Burma bahawa raja mereka mempunyai satu keajaiban dan kekuasaan kerana keuapayaannya untuk mengumpulkan gajah putih. Pengumpulan ini dianggap sebagai lambang kepada ciri-ciri luar biasa raja seperti gagah dan lambang kemakmuran negara. Gajah putih juga dikaitkan dengan sebagai simbol kedaulaan sejagat serta pengiktirafan kuasa raja oleh kuasa-kuasa ghaib. Selain itu, raja Burma juga beperanan dalam memberi pengesahan sama ada dalam sistem politik mahupun soisal. Di sinilah keunggulan yang ada pada diri raja. Tanpa pengesahan raja individu pembesar tidak boleh menjalankan pemerintahan mereka. Oleh itu semua kedudukan rakyat memerlukan pengesahan daripada raja bagi mengesahkan kuasa dan pemerintahan yang dijalankan. Raja juga berperanan dalam menentukan adat resam tempatan berkekalan dan dipatuhi. Ia juga perlu mempunyai moral yang tinggi bagi menjamin kebahagiaan rakyat di dunia dan dunia akan datang. Dengan demikian kesucian raja yang dihubungkan dengan ketuhanan perlu bagi menjamin pengekalan dan kebahagiaan itu sentiasa ada dan dinikmati oleh masyarakat.

Dalam masyarakat Vietnam, peranan raja mereka dalam pemerintahan diibaratkan sebagai punca ilmu. Selain itu ia juga berperanan dalam menentukan kemakmuran ekonomi negara dan rakyat. Ia juga dipercayai sebagai ayah kepada rakyatnya. Hal ini kerana manusia kebanyakan diberi keupayaan yang berbeza jika dibandingkan dengan raja dan raja Vietnam memiliki kelebihan tersebut, iaitu kelebihan sebagai anak tuhan. Kelebihan-kelebihan inilah yang menjadikan raja Vietnam ditaati dan sumber kepada kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bahagi. Kelebihan ini bukan sahaja ada pada raja di Vietnam , tetapi ia juga menjadi kelebihan kepada raja di Kampucea. Dengan status sebagai raja yang suci, raja-raja Kampucea berperanan sebagai tempat rujukan undang-undang. Malahan, apa-apa yang dikatakannya adalah merupakan satu peraturan dan mesti dipatuhi. Selain tugas tersebut, raja Kampucea juga berperanan sebagai tempat menaruh harapan kepada rakyat yang menghadapi masalah. Raja dianggap sebagai tempat menyelesaikan kesulitan kerana ia juga dianggap sebagai lambang kepada kemakmuran. Dengan kata lain tanpa raja negara akan musnah dan kacau bilau akan berlaku. Oleh itu, kepatuhan kepada kata-kata raja merupakan undang-undang dan peraturan yang harus dipatuhi.

Bagi raja Siam peranan yang dimainkannya dalam pemerintahan negara ialah raja dianggap sebagai pelindung kepada rakyat. Tanpa raja rakyat akan menghadapi kesengsaraan. Hal ini kerana raja Siam dipercayai mempunyai kuasa yang mutlak tentang semua yang ada di bumi ini. Keadaan ini bersesuaian dengan konsep divine kinship yang ada pada raja. Dalam era pemerintahan Rama 1, beliau telah mengeluarkan undang-undang yang diperlukan pada waktu itu. Selain itu raja juga ialah penaung kepada agama Buddha dan beliau juga memastikan segala upacara negara dan agama dijalankan. Dalam bidang pendidikan, Rama 1 menggalakkan kesusasteraan rakyat serta telah mengubahsuai tradisi yang diamalkan dalam era Ayudhya seperti undang-undang cerai, kesusasteraan, sejarah, undang-undang agama, dan istiadat negara. Beliau juga telah melaksanakan revolusi senyap yang mementingkan intelek manusia bagi menentukan nasib negara. Dalam pemerintahan Rama 2 dan 3, mereka telah berperanan dalam menentukan keamanan negara disamping meneruskan usaha Rama 1 dengan berperanan dalam pelaksanaan upacara negara serta memperkembangkan keintelektualan masyarakat di samping mempertahankan negara daripada tekanan pihak luar. Keadaan dan kebolehan raja Siam dalam menjalankan pemerintahan dapat dikaitkan dengan kekuasaan yang ada pada rajanya dengan mengumpulkan gajah putih iaitu satu lambang kebebasan raja dalam mendapatkan dan menjalankan pemerintahannya.

Bagi masyarakat Jepun walaupun raja dianggap mempunyai unsur ketuhanan, tetapi ia dapat dimanipulasikan oleh Shogun. Dalam hal ini raja Jepun hanya berperanan dalam melaksanakan upacara sahaja, tetapi tidak dalam hal politik jika dibandingkan dengan raja-raja di Burma, Siam, Vietnam, dan Cina. Aspek politik banyak diiitentukan oleh Shogun yang memerintah melalui keesahan raja. Segala bentuk perrjalanan dan pemerintahan negara dijalankan oleh Shogun. Malahan raja dihalang daripada bertemu dengan pembesar lain dan rakyat. Ia hanya boleh dilakukan jika mendapat kebenaran dan iringan Shogun Tokugawa sahaja. Walaupun dalam aspek ini kelihatan Shogun lebih berkuasa, tetapi raja tetap berperanan sebagai ketua negara dan kerajaan. Hal ini kerana Shogun masih memerlukan raja, kerana tanpa raja Shogun tidak boleh berkuasa. Ini berikutan daripada kepercayaan rakyat bahawa raja memberikan kuasanya kepada Shogun untuk memerintah. Shogun pula memanipulasikan kedudukan raja bagi memberikan hak kepadanya untuk mentadbir Jepun. Keadaan ini kerana raja Jepun dianggap mempunyai kesucian dan ada hubungan dengan dewi matahari. Pemberian kuasa kepada Shogun oleh raja melambangkan pemberian kuasa dewi matahari kepada Shogun. Dengan kata lain, raja Jepun ialah sumber kedaulatan dan bukannya sumber kuasa dalam pentadbiran. Shogun pula memperguna kedudukan ini bagi mendapat taat setia daripada rakyat dan pembesar supaya mereka tidak menentang dan memberontakan terhadapnya. Kedudukan ini membolehkan keluarga Togukawa mengawal pemerintahan dan mentadbir Jepun lebih daari 200 tahun, jika dibandingkan dengan rakan-rakannya Nobunaga dan Yoritomo.

Bagi maharaja Cina ia masih mengawal dan mentadbir serta menjadi nadi penting dalam pemerintahan Cina. Maharaja mempunyai kuasa penuh dalam pemerintahan dan menganggap dirinya seperti divine kinship. Ia melihat orang lain tidak bertamadun jika dibandingkan dengan Cina. Keadaan di India dan Indonesia pula raja-rajanya didapati kehilangan banyak kuasa. Segala kuasa mentadbir telah diambil oleh pihak penjajah. Walaupun pada peringkat awalnya mereka seperti raja-raja Asia yang lain, tetapi kebijaksanaan penjajah Eropah telah menyebabkan mereka kehilangan kuasa melalui perjanjian dan kekalahan dalam peperangan. Dari segi konsep, rakyat masih melihat mereka mempunyai hubungan dengan tuhan. Bagi Indonesia rajanya pada awalnya dikaitkan dengan amalan dalam Hindu, Buddha, dan kemudiannya Islam. Begitu juga, dengan raja Burma dan Vietnam yang akhirnya mereka mengikut jejak langkah dengan kehilangan kuasa di tangan penjajah Eropah.

Sebagai rumusannya raja-raja ini boleh dikatakan kesemuanya telah dihubungkaitkan dengan aspek agama. Mereka telah dilihat seperti manusia lain yang teristimewa sehinggakan segala perintahnya diikuti dan ditaati. Tanpa hubungan ini manusia raja ini berkemungkinan tidak akan dapat bertahan lama dalam pemerintahan. Unsur kesucian dan ketuhanan yang ada pada mereka telah membolehkan mereka sentiasa ditaati.